Kawasaki Ninja ZX-10R 2021 tampil berwajah baharu, lebih sporty dan agresif, enjin Euro 5 kekal berkuasa

Kawasaki baru saja memperkenalkan model terbaharu Ninja ZX-10R 2021, yang kini tampil berwajah baharu yang lebih agresif berbanding model sebelumnya. Menurut Kawasaki, di bahagian cowl depan model tersebut terdapat winglet yang diintegrasikan ke dalamnya, untuk menjana lebih downforce sewaktu aksi pecutan yang kuat.

Cowl depan yang aerodinamik dan bercirikan perlumbaan itu dilengkapi sepasang lampu utama LED yang kompak, sistem intake Ram Air baharu dan windshield yang lebih tinggi, yang mana ianya secara jelas memaparkan wajah dan gaya baharu rekaan Ninja ZX-10R masa kini. Yang pasti rekaan tersebut sangat sporty dan menyerlah.

Beralih ke bahagian sistem penjana kuasanya, Ninja ZX-10R 2021 dikuasakan enjin bersesaran 998cc (Liquid-cooled, 4-stroke In-Line Four, DOHC, 16 valves) dengan padanan transmisi enam kelajuan. Enjin tersebut kini bertaraf Euro 5 yang menawarkan emisi lebih bersih, namun kekal berkuasa dengan hamburan kuasa maksimum 203PS @ 13,200rpm (213PS with RAM Air) dan tork maksimum 114.9Nm @ 11,400rpm.

Untuk pengendalian cemerlang yang memberi fokus kepada litar, Ninja ZX-10R 2021 dilengkapi sistem suspensi berprestasi tinggi, di samping kehadiran sistem brek depan daripada Brembo dengan cakera berkembar 330 mm untuk ciri keselamatan tertinggi. Sistem brek depan dan belakang kedua-duanya turut dilengkapi sistem brek ABS.

Spesifikasi seterusnya yang melengkapi Ninja ZX-10R 2021 antaranya termasuklah air-cooled oil cooler baharu, mod tunggangan Sport, Road, Rain dan Rider (manual), panel instrumen digital TFT, sistem kawalan pelayaran elektronik (Electronic Cruise Control) dan lencana River Mark, pertama kali digunakan pada model tanpa enjin supercas.

Kawasaki Ninja ZX-10R 2021 boleh didapati dalam tiga pilihan warna, termasuk skim warna KRT Edition. Berdasarkan maklumat di dalam laman sesawang Kawasaki USA, harga jualannya ialah $16,399 (Non-ABS) dan $17,399 (ABS) untuk model standard, manakala harga bagi model KRT Edition ialah $16,699 (Non-ABS) dan $17,699 (ABS).

Artikel Popular Minggu Ini :