Di pasaran Malaysia, Honda Vario 150 2020 telah dilancarkan dengan kemaskini warna baharu pada bulan Ogos tahun lepas. Model tersebut didatangkan dengan harga asas sebanyak RM 7,499.00 untuk pilihan warna seperti Pearl Magellanic Black, Force Silver Metallic dan Sword Silver Metallic, dan RM 7,699.00 untuk warna Repsol Edition.
Untuk model tahun 2021 atau mungkin tahun 2022, Honda Vario 150 dikatakan bakal digantikan dengan model baharu yang lebih berkuasa, dan akan dikenali dengan nama baharu Honda Vario 160. Bersesuaian dengan namanya, model skuter tersebut akan dilengkapi enjin bersesaran 160cc yang dibawakan daripada model Honda PCX160.
Honda PCX160 2021 telah pun dilancarkan secara rasmi di pasaran Jepun, Thailand, Indonesia dan juga USA. Selain daripada penampilan facelift terbaharunya yang lebih sporty dan elegan, ianya juga menggunakan enjin eSP+ baharu dalam sesaran 156.9cc (liquid-cooled, 4-stroke, single-cylinder), yang kini turut dilengkapi dengan empat injap.
Enjin baharu tersebut menawarkan kuasa maksimum 15.8PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 15Nm @ 6,500rpm. Jumlah kuasa tersebut adalah lebih tinggi jika dibandingkan dengan jumlah kuasa yang ditawarkan oleh Honda Vario 150, yang ketika ini berada pada paras maksimum 13.1PS @ 8,500rpm dengan tork puncak 13.4Nm @ 5,000rpm.
Honda Vario 160 dengan enjin yang lebih berkuasa pastinya akan menarik perhatian lebih ramai peminat, bukan saja di pasaran Malaysia, malah di pasaran negara-negara ASEAN yang lain. Namun begitu spesifikasinya yang lain mungkin tidak akan semewah spesifikasi yang melengkapi model Honda PCX160 yang berada pada paras premium.
Ini kerana Honda Vario 160 akan ditawarkan sebagai model skuter yang lebih mampu milik jika dibandingkan dengan model Honda PCX160. Setakat ini masih belum ada maklumat yang tepat bilakah Honda Vario 160 akan dilancarkan, mungkin pada tahun 2021 ini, atau mungkin juga ianya hanya akan diperkenalkan mulai tahun depan.
Galeri : 2020 Honda Vario 150