EICMA 2026: Apa beza 3 varian motosikal adventure Morbidelli T802X ?

Morbidelli memperkenalkan barisan model motosikal adventure terbaharu mereka yang dipanggil T802X sempena acara Pameran Motosikal Milan (EICMA) 2026 di Itali baru-baru ini.

Tiga model dimaksudkan ini ialah T802X, T802XR dan T802XR RALLY dengan setiap satu disasarkan kepada pengguna tersendiri iaitu:

  • T802X: jalan raya dan touring
  • T802XR: jalan raya dan off-road
  • T802XR RALLY: lebih fokus kepada off-road

Model ini akan mula dihasilkan dan dijual menjelang suku pertama tahun 2027 (antara Januari hingga Mac). Namun, Morbidelli belum memberi sebarang indikator harga lagi.

3 varian, 1 enjin

Siri Morbidelli T802 menggunakan enjin dua silinder sebaris 799cc DOHC 8-injap dengan sistem sejukan cecair dan suntikan bahan api,

Kuasa yang dijana ialah 94.5PS (69.5kW) pada 9,000rpm dan tork 80Nm pada 7,500rpm.

Sistem transmisi jenis klac manual 6-kelajuan dengan tambahan ciri klac gelincir (slipper clutch) dan sistem quickshifter dua-hala (atas bawah)

Pacuan akhir digunakan adalah jenis rantai.

Apa lagi dikongsi 3 varian Morbidelli T802?

Selain berkongsi enjin dan sistem kotak gear, tiga varian motosikal adventure Morbidelli T802 ada persamaan komponen membabitkan frem, sistem kawalan elektronik dan panel instrumen meter.

Casis jenis berlian (diamond) dengan swingarm aluminium. Fork terbalik (USD) KYB 48mm, monoshock belakang dengan sambungan Pro-Link. Ada steering damper.

Tiga mode tunggangan iaitu Road, Sport dan Off-road.

Meter TFT berwarna 7 inci diposisikan menegak boleh memaparkan navigasi Google secara panduan arah-ke-arah (turn-by-turn).

Sistem elektronik merangkumi ABS ketika mengambil selekoh (cornering ABS) dan kawalan cengkaman (TCS) ketika mengambil selekoh (cornering traction control) yang menggunakan sensor Bosch IMU. Ada sistem kawalan wheelie (anti-wheelie).

Ciri keselamatan termasuk kamera dashcam depan dan ada radar di belakang untuk pantau kawasan titik buta (blind spot).

Tambahan lain ialah Kawalan Jelajah (cruise control), pemanas hendal dan tempat duduk, penghadang angin boleh laras dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS).

Apa beza setiap varian?

Walaupun menggunakan enjin sama, setiap model ada perbezaannya membabitkan beberapa aspek iaitu:

  • Saiz rim dan tayar
  • Sistem brek
  • Reka bentuk tempat duduk
  • Jarak gerak (travel) sistem suspensi
  • Jarak lega bumi

Morbidelli T802X

  • Direka untuk kegunaan jalan raya dan perjalanan jarak jauh atau kembara.
  • Rim multi-jejari (spokes rim) saiz 19 inci (depan) dan 17 inci (belakang).
  • Tayar Metzeler Tourance saiz 110/80 – R19 (depan) dan 150/70 – R17 (belakang).
  • Brek depan jenis cakera berkembar 298mm terapung (floating), kaliper 4 piston.
  • Fork depan dan monoshock belakang masing-masing tawar jarak gerak 210mm.
  • Jarak lega bumi 206mm.
  • Tinggi pelana 830mm.
  • Dua tempat duduk, madgad rendah dan tongkat tengah.
  • Pilihan warna: Isaurus Blue dan Obsidian Cherry.

Morbidelli T802XR

  • Direka untuk kegunaan jalan raya dan off-road.
  • Rim depan 21 inci dan belakang 18 inci.
  • Tayar Pirelli Scorpion Rally STR bersaiz 90/90-21 dan 150/70 R18.
  • Sistem brek cakera kembar 320mm untuk roda depan.
  • Jarak gerak sistem suspensi (depan dan belakang) 210mm sama macam T802X.
  • Jarak lega bumi 245mm.
  • Tinggi tempat duduk 850mm.
  • Madgad lebih tinggi, dua tempat duduk dan tongkat tengah ditawarkan sebagai pilihan.
  • Pilihan warna: Raven Black dan Arctic White + Track Blue Pearl

Morbidelli T802XR RALLY

  • Motosikal adventure yang lebih ke arah off-road.
  • T802XR RALLY guna saiz rim, tayar dan sistem brek sama macam T802XR.
  • Sistem suspensi dengan jarak gerak lebih panjang iaitu 233mm (depan) dan 230mm di belakang.
  • Jarak lega bumi naik kepada 270mm.
  • Tinggi pelana 875mm.
  • Tempat duduk jenis rata untuk penunggang sahaja ala-ala motor rali.
  • Pilihan warna: Arctic White + Track Blue Pearl dan Raven Black

Perbandingan tiga versi T802

T802XT802XRT802XR Rally
KarakterJalan raya dan touringJalan raya dan off-roadLebih fokus off-road
Enjin2 silinder sebaris 799cc, kuasa 94.5hp dan tork 80Nm2 silinder sebaris 799cc, kuasa 94.5hp dan tork 80Nm2 silinder sebaris 799cc, kuasa 94.5hp dan tork 80Nm
Rim19 inci depan, 17 inci belakang, jejari dengan tayar tanpa tiub21 inci depan, 18 inci belakang, jejari dengan tayar tanpa tiub21 inci depan, 18 inci belakang, jejari dengan tayar tanpa tiub
TayarMetzeler Tourance 110/80 R19 (depan) dan 150/70 R17 (belakang)Pirelli Scorpion Rally STR 90/90-21 (depan) dan 150/70 R18 (belakang)Pirelli Scorpion Rally STR 90/90-21 (depan) dan 150/70 R18 (belakang)
Brek depanCakera kembar 298mm, kaliper 4 pistonCakera kembar 320mm, kaliper 4 pistonCakera kembar 320mm, kaliper 4 piston
Brek belakang240mm240mm240mm
Gerak kerja suspensi depan/belakang210mm depan dan belakang 210mm depan dan belakang233mm depan dan 230mm belakang
Kelegaan bumi206mm245mm270mm
Tinggi tempat duduk830mm850mm875mm
Jarak roda1,520mm1,524mm1,530mm
Berat tanpa bahan api189kg186kg187kg
Tangki bahan api20.5 liter20.5 liter20.5 liter
Muatan maksimum190kg190kg190kg
Tempat dudukDua orangDua orangSeorang
Madgad depanRendahTinggiTinggi
Tongkat tengahAdaOpsyenTiada
Pelindung enjin dan crash barAdaAdaAda