GPX Demon GR165R 2021 dilancarkan secara rasmi di pasaran Bangladesh, harga RM 17,169.24

Sejak bulan Jun 2020 yang lepas, model terbaharu GPX Demon GR200R dikhabarkan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia. Namun sehingga kini pada bulan Februari 2021, model sport bike dengan penampilan menarik dan sporty itu masih belum muncul.

Bagaimanapun di pasaran Bangladesh kelmarin, model tersebut telah pun dilancarkan dengan rasminya. Cuma untuk pasaran Bangladesh, ianya dikenali dengan nama GPX Demon GR165R 2021. Ini kerana enjinnya didatangkan dalam sesaran yang lebih kecil berbanding enjin 198cc yang melengkapi model GPX Demon GR200R.

GPX Demon GR165R dikuasakan enjin yang berkapasiti 164.6cc (1-cylinder, 4-stroke, SOHC, 2-valve) dengan sistem penyejukan cecair dan sistem suntikan bahan api FI, seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan. Jumlah kuasa yang dihasilkan mencapai 17.8bhp @ 9,000rpm dengan tork maksimum 16Nm @ 6,000rpm.

Spesifikasi yang melengkapi GPX Demon GR165R adalah serba lengkap, sama seperti yang dimiliki oleh model GPX Demon GR200R. Antaranya termasuklah panel meter digital, sistem lampu LED, suspensi depan upside-down, suspensi belakang dengan ciri boleh laras, sistem brek cakera depan dan belakang, serta tangki bahan api 11 liter.

Selain itu model tersebut juga dilengkapi tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 100/80-17 dan 140/70-17, kedua-duanya merupakan tayar tanpa tiub. Tinggi tempat duduknya ialah 815 mm, dengan berat 155 kg (net weight). Harga jualan yang ditawarkan di pasaran Bangladesh ialah ৳ 359,900, bersamaan nilai RM 17,169.24.

GPX Demon GR165R didatangkan dalam tiga pilihan warna menarik iaitu Red Fire, Matt Gray dan Black Space. Selepas Bangladesh, diharapkan pasaran Malaysia akan turut dilancarkan segera GPX Demon GR200R yang telah lama dinanti-nantikan itu.