Yamaha Mio Aerox 2021 dilancarkan di pasaran Filipina, harga bermula dari RM 9,388.77

Yamaha Motor Philippines pada dua hari yang lepas secara rasminya melancarkan model skuter terbaharu Yamaha Mio Aerox 2021 untuk pasaran Filipina. Model tersebut sebelum ini telah dilancarkan terlebih dahulu di pasaran Indonesia, Vietnam dan juga Thailand. Pasaran Malaysia pula dijangka akan menerimanya tidak lama lagi.

Untuk pasaran Filipina, Yamaha Mio Aerox 2021 versi facelift terbaharu ini didatangkan dalam dua varian iaitu Standard dan S. Bagi varian Standard, ianya didatangkan dalam empat pilihan warna yang menarik seperti Race Blue, Black Raven, Dark Gray dan Red. Untuk varian S pula hanya satu pilihan warna tunggal ditawarkan iaitu Black Raven.

Yamaha Mio Aerox 2021 varian Standard ditawarkan pada harga jualan P 112,900.00, bersamaan RM 9,388.77, manakala varian S ditawarkan pada harga P 132,900.00 iaitu bersamaan RM 11,051.97. Mengenai perbezaan spesifikasi di antara kedua-dua varian Standard dan S, tiada maklumat yang jelas diberikan oleh Yamaha Motor Philippines.

Yamaha Mio Aerox 2021 dikuasakan enjin bersesaran 155cc (Liquid cooled, 4-stroke, SOHC, 4-valve, Single-cylinder) dengan teknologi VVA, dan kemudiannya dipadankan transmisi enam kelajuan automatik. Keluaran kuasa maksimum enjin tersebut adalah sebanyak 15.4PS @ 8,000rpm dengan tork maksimum 13.9Nm @ 6,500rpm.

Antara kemaskini terbaharu yang diterima oleh Yamaha Mio Aerox 2021 berbanding model generasi sebelumnya ialah perubahan wajah facelift terbaharu yang lebih sporty dan elegan, yang merangkumi rekaan lampu depan baharu, perubahan dimensi badan yang dioptimumkan, rekaan tempat duduk dan tempat pemijak kaki telah diperbaharui semula dan tangki bahan api yang kini mempunyai kapasiti maksimum 5.5 liter.

Ciri utama paling canggih yang diperkenalkan untuk Yamaha Mio Aerox 2021 sudah tentulah sistem sambungan Yamaha Y-Connect yang boleh dihubungkan secara terus ke telefon pintar. Ciri-ciri menarik lain adalah seperti panel meter digital, lampu depan LED dengan lampu DRL, lampu belakang LED dan port pengecas telefon bimbit.

Yamaha Mio Aerox 2021 turut dilengkapi sistem Stop & Start, Smart Key System, Smart Motor Generator (SMG), Handlebar Switch Control dan sistem brek cakera di bahagian depan dengan ABS dan sistem brek belakang jenis dram. Tayar depan dan belakang tanpa tiub untuk model tersebut masing-masing berukuran 110/80-14 dan 140/70-14.

Akhir sekali Yamaha Aerox Mio 2021 untuk pasaran Filipina ini mempunyai ketinggian tempat duduk 790 mm, jarak kelegaan bumi minimum 145 mm dan berat (wet weight) 122 kg untuk Mio Aerox dan 124 kg untuk Mio Aerox S. Untuk pasaran Malaysia, sama-sama kita tunggu pelancarannya yang dijangka pada separuh pertama tahun ini.

Artikel Popular Minggu Ini :