Yamaha Aerox 2021 rasmi dilancarkan di pasaran Thailand, harga bermula dari RM 9,114.53

Model skuter terbaharu Yamaha Aerox 2021 kini rasmi dilancarkan di pasaran Thailand, dalam dua pilihan varian iaitu Standard dan ABS. Sebelum ini model berkenaan terlebih dahulu dilancarkan di pasaran Indonesia dan Vietnam, masing-masing hadir dengan nama Yamaha Aerox 155 Connected 2021 dan Yamaha NVX 155 VVA 2021.

Perubahan utama Yamaha Aerox 2021 ialah ianya kini tampil lebih sporty, bergaya dan aerodinamik. Rekaan lampu LED pada bahagian depan dan belakang kini menjadi lebih tajam dan lebar, serta turut dilengkapi lampu jenis DRL (Daytime Running Light). Panel intsrumen digital juga menawarkan rekaan baharu yang lebih menarik dan berinformasi.

Antara ciri canggih yang melengkapinya termasuklah teknologi sambungan Y-Connect yang boleh dihubungkan melalui paparan telefon bimbit. Ianya memberikan kemudahan kepada penunggang untuk mendapatkan maklumat berkaitan notifikasi telefon di panel instrumen skuter, informasi penggunaan bahan api, informasi lokasi parkir yang terakhir ketika terhubung dengan aplikasi, pengingat masa untuk servis dan lain-lain lagi.

Selain itu antara ciri-ciri menarik yang didatangkan untuk Yamaha Aerox 2021 ini ialah Smart Key System (varian ABS sahaja), sistem Stop & Start (varian ABS sahaja), soket pengecas DC untuk mengecas bateri telefon bimbit, ruang barangan seluas 25 liter di bawah tempat duduk yang boleh memuatkan sebuah topi keledar bermuka penuh dan tangki bahan api yang lebih besar dengan kapasiti maksimum sehingga 5.5 liter.

Untuk keselamatan yang lebih terjamin, Yamaha Aerox 2021 dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan dengan ABS (varian ABS sahaja), manakala suspensi belakang dengan Sub-Tank (varian ABS sahaja) menawarkan tahap kejutan yang lebih cemerlang. Tayar belakang selebar 140 mm dengan rim aloi 14 inci pula menyumbang kepada pengendalian yang lebih stabil dan gaya tunggangan yang bercirikan sporty.

Beralih ke bahagian enjin, ianya dikuasakan enjin Blue Core 155cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valves, SOHC, liquid cooled) dengan teknologi canggih VVA, seterusnya dipadankan transmisi automatik CVT. Kuasa maksimumnya mencapai angka 15.4PS @ 8,000rpm dengan tork puncak 13.9Nm @ 6,500rpm. Dengan Teknologi Smart Motor Generator (SMG), ianya memastikan operasi menghidupkan enjin menjadi lebih halus.

Dengan berat hanya 122 kg (varian Standard) dan 125 kg (varian ABS), Yamaha Aerox 2021 dikatakan memiliki prestasi dan nisbah kuasa kepada berat yang terbaik di dalam kelasnya. Untuk pilihan warna, varian Standard menawarkan tiga skim warna menarik seperti Faster Turquoise, Alpha Red dan Power Black. Untuk varian ABS, tiga pilihan warna menawan yang ditawarkan ialah Racing Blue, Silver Light dan Dark Night.

Yamaha Aerox 2021 di pasaran Thailand ditawarkan pada harga sebanyak 67,500 THB (bersamaan RM 9,114.53) untuk varian Standard, sementara untuk varian ABS, ianya boleh dimiliki pada harga 78,500 THB (bersamaan RM 10,599.86). Selepas Thailand, model skuter ini dijangka akan turut dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun ini.

Artikel menarik minggu ini :