Yamaha NVX 155 VVA 2021 dilancarkan di pasaran Vietnam

Pasaran Vietnam baru-baru ini secara rasminya telah menerima kehadiran model skuter terbaharu Yamaha NVX 155 VVA 2021. Ianya adalah sama dengan model Yamaha Aerox 155 Connected 2021 yang dilancarkan di pasaran Indonesia, namun untuk pasaran Vietnam, hanya varian teratas dengan sistem brek ABS ditawarkan.

Antara ciri-ciri menarik yang melengkapi Yamaha NVX 155 VVA 2021 terbaharu ini termasuklah sistem aplikasi Y-Connect yang boleh dihubungkan dengan telefon pintar, lampu depan LED rekaan baharu, panel meter digital berwajah baharu dengan pelbagai fungsi, sistem Smart Key, sistem Stop & Start dan port pengecas telefon bimbit.

Selain itu ianya juga hadir dengan kelengkapan sistem brek ABS, kapasiti tangki bahan api 5.5 liter yang lebih besar sehingga 0.9 liter berbanding generasi terdahulu, ruang barangan peribadi di bawah tempat duduk seluas 25 liter, ukuran tayar depan dan belakang yang lebar, suspensi belakang dengan tangki minyak hidraulik dan rekaan baharu tempat duduk yang kini lebih selesa untuk penunggang dan pembonceng.

Di bahagian enjin, ianya dilengkapi enjin Blue Core bersesaran 155cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valves, SOHC, liquid cooled) dengan teknologi canggih Variable Valve Actuation (VVA), yang kemudiannya dipadankan transmisi automatik CVT. Kuasa yang dihasilkan mencapai angka 15.4PS @ 8,000rpm dengan tork 13.9Nm @ 6,500rpm.

Yamaha NVX 155 VVA 2021 turut dilengkapi sistem lampu LED depan dan belakang, brek depan ABS dengan cakera berdiameter 230 mm, brek belakang jenis dram, tayar depan dan belakang tanpa tiub yang masing-masing berukuran 110 / 80-14M / C 53P dan 140 / 70-14M / C 62P, serta mempunyai berat 125 kg (wet weight).

Untuk pasaran Vietnam, Yamaha NVX 155 VVA 2021 ditawarkan pada harga sebanyak 53,000,000 VND (bersamaan RM 9,346.93) untuk model berwarna Bronze Gold – Black, Blue GP, Red, Black dan Orange – Gray. Model Limited Edition Monster Energy Yamaha MotoGP pula berharga sebanyak 54,000,000 VND (bersamaan RM 9,523.29).

Di pasaran Malaysia ketika ini, Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) masih lagi menawarkan Yamaha NVX model tahun 2020 yang diperkenalkan dalam bulan Februari tahun ini. Dijangkakan Yamaha NVX generasi terbaharu 2021 ini akan dilancarkan di pasaran Malaysia pada awal tahun depan, sama-sama kita nantikan.