Yamaha Aerox 155 Connected 2021 dilancarkan di pasaran Indonesia, kini dilengkapi teknologi sambungan Y-Connect

PT Yamaha Indonesia Motor Mfg. secara rasminya telah melancarkan model skuter terbaharu Yamaha Aerox 155 Connected 2021 untuk pasaran Indonesia. Didatangkan dalam dua varian iaitu Standard dan ABS, perbezaannya ialah varian ABS dilengkapi dengan sistem brek ABS, Stop and Start System (SSS) dan Sub-Tank Suspension.

Sesuai dengan namanya, Yamaha Aerox 155 Connected kini dilengkapi teknologi Y-Connect yang mampu menghubungkan telefon pintar melalui sambungan sistem Bluetooth. Ciri tersebut memudahkan penunggang untuk mendapatkan maklumat berkaitan notifikasi telefon di panel instrumen skuter, informasi penggunaan bahan api, informasi lokasi parkir terakhir ketika terhubung dengan aplikasi dan lain-lain lagi.

Dari segi rekaan, Yamaha Aerox 155 Connected tampil lebih sporty, bergaya dan aerodinamik. Rekaan lampu LED pada bahagian depan dan belakang kini menjadi lebih tajam dan lebar, serta turut dilengkapi lampu DRL (Daytime Running Light). Panel intsrumen digital juga menawarkan rekaan baharu yang lebih menarik dan berinformasi.

Ciri-ciri menarik lain yang melengkapi Yamaha Aerox 155 Connected ini termasuklah juga Smart Key System yang merupakan sistem penguncian tanpa anak kunci, Electric Power Socket untuk mengecas bateri telefon bimbit, ruang bagasi yang luas di bawah tempat duduk, Handle Bar Switch Control, Hazard Lamp dan tangki petrol 5.5 liter.

Sistem penjana kuasa Yamaha Aerox 155 Connected membawakan enjin Blue Core 155cc baharu dengan sistem penyejukan cecair, serta dilengkapi dengan teknologi Variable Valve Actuation (VVA) yang menghasilkan tork pada setiap putaran enjin. Enjin baharu itu mampu menghasilkan kuasa maksimum 15.15hp @ 8,000rpm dengan tork maksimum 13.9Nm @ 6,500rpm.

Dengan berat 122 kg (Aerox 155 Connected) dan 125 kg (Aerox 155 Connected ABS), Yamaha Aerox 155 Connected dikatakan memiliki prestasi dan Power to Weight Ratio (PWR) yang terbaik di dalam kelasnya. Selain itu ianya juga dilengkapi teknologi Smart Motor Generator (SMG), sehingga menghidupkan enjin motor menjadi lebih halus.

Pilihan warna yang ditawarkan ialah Dark Grey Yellow, Red, Matte Black Cyan dan Black untuk varian Standard, manakala untuk varian ABS ianya didatangkan dalam dua pilihan warna istimewa iaitu Prestige Silver dan Maxi Signature Black. Untuk pasaran Indonesia, harga jualan untuk Yamaha Aerox 155 Connected adalah seperti berikut :

  • 2021 Yamaha Aerox 155 Connected (Standard) : Rp. 25,500,000 (bersamaan RM 7,262.63 mengikut kadar tukaran semasa)
  • 2021 Yamaha Aerox 155 Connected (ABS) : Rp. 29,000,000 (bersamaan RM 8,259.47 mengikut kadar tukaran semasa).
(Visited 84 times, 1 visits today)