Mforce Bike Holdings Sdn. Bhd. hari ini dengan rasminya melancarkan model dipertingkatkan SYM VF3i 185 LE (Limited Edition) 2020 terbaharu, yang kini tampil dengan sistem brek ABS. Model moped tersebut dilancarkan bersama-sama sebuah lagi model dalam segmen skuter maxi iaitu SYM Maxsym TL500 2020.
Menurut Mforce selaku pegedar motosikal berjenama SYM di pasaran tempatan, SYM VF3i 185 LE ini hanya akan ditawarkan sebanyak 5,000 unit sahaja, pada harga sebanyak RM 9,338.00. Hanya satu pilihan warna sahaja yang ditawarkan iaitu gabungan warna hitam dan hijau fluorescent yang kelihatan begitu ranggi dan sporty.
Antara peningkatan yang dilakukan terhadap SYM VF3i 185 LE ini, paling utama ialah kehadiran sistem brek ABS (Anti-lock Braking System) untuk pemberhentian yang lebih selamat. Ini menjadikan model tersebut sebagai satu-satunya model moped di pasaran Malaysia ketika ini yang menawarkan sistem brek dengan ciri canggih ABS.
Peningkatan kedua yang juga boleh dikatakan penting dan sangat dialu-alukan oleh peminat motosikal di negara kita ialah peningkatan dari segi kuasa enjin. SYM VF3i 185 LE kini menawarkan kuasa enjin maksimum sebanyak 19.7hp @ 9,000rpm dan tork 17.4Nm @ 7,500rpm. Sebagai perbandingan, SYM VF3i 185 V2 hadir dengan kuasa enjin maksimum 17.7hp @ 8,500rpm dan tork puncak 15.3Nm @ 7,000rpm.
Menurut Mforce, peningkatan kuasa dan tork enjin itu dilakukan melalui beberapa modifikasi terhadap enjin 185cc yang melengkapi model berkenaan, termasuklah penggunaan throttle body yang lebih besar dengan diameter 30 mm. Berkenaan kelajuan, dipercayai ada pertambahan, namun belum diumumkan oleh Mforce. Selain itu, SYM VF3i 185 LE ini juga didatangkan dengan ciri adjustable brake dan clutch lever.
Sementara itu, ciri-ciri lain yang menjadikan SYM VF3i LE model tahun 2020 ini kekal hebat termasuklah kehadiran visor aero (penghadang angin aerodinamik), speedometer yang bergaya dengan penunjuk pelbagai informasi, lampu DRL jenis LED yang terang, lampu belakang LED, tangki bahan api 7 liter dan brek cakera depan dan belakang.
Dengan pengenalan SYM VF3i 185 LE ini yang dijual bersama-sama SYM VF3i 185 V2 yang dilancarkan pada Oktober 2019 yang lepas, bermakna saingan di pasaran tempatan untuk model-model moped dengan enjin 150cc ke atas kini menjadi bertambah sengit. Buat masa sekarang, Yamaha Y15ZR, Honda RS150R dan Benelli RFS150i merupakan barisan pencabar utama untuk SYM VF3i 185.
Bagaimanapun berdasarkan pemerhatian dan statistik, Yamaha Y15ZR sememangnya lebih berjaya dalam mencatatkan angka jualan terbanyak, diikuti oleh Honda RS150R. Bagaimanapun, usaha berterusan pihak Mforce dan SYM Malaysia selama ini dalam menawarkan peningkatan terhadap model SYM VF3i 185 seharusnya dipuji.