Yamaha Y15ZR V2 2019 di pasaran Malaysia, harga asas RM8,168.00

Raja Jalanan atau “King of the Streets”, itulah gelaran yang diberikan kepada model moped paling popular di pasaran Malaysia ketika ini – Yamaha Y15ZR V2. Model tersebut dilancarkan di pasaran tempatan pada Mac 2019 yang lepas, pada harga asas sebanyak RM8,168.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Yamaha Y15ZR V2 2019 merupakan pengganti baharu kepada model Y15ZR generasi pertama, yang kini tampil dengan beberapa perubahan signifikan. Berikut ialah antara ciri-ciri baharu yang diperkenalkan untuk Y15ZR V2 :

  • Rekaan lampu depan LED baharu (New ‘High Low Beam’ LED headlights)
  • Panel meter LCD baharu dengan ciri digital sepenuhnya
  • Rekaan jalur grafik baharu yang menarik
  • Tayar depan lebih lebar berukuran 90/80 – 17 untuk tunggangan yang lebih selesa dan lebih stabil pada kelajuan tinggi dan ketika mengambil selekoh
  • Lampu kecemasan dan lampu amaran memotong (hazard lamp and passing light)

Yamaha Y15ZR V2 dikuasakan enjin 150cc (Single Cylinder, Liquid-cooled, 4-stroke, SOHC) yang digandingkan dengan transmisi lima kelajuan dan sistem suntikan bahan api, seterusnya menghasilkan kuasa maksimum 15.4 PS @ 8,500rpm dengan tork 13.8 Nm @ 7,000rpm. Sistem penghidupnya adalah jenis elektrik sahaja tanpa pilihan penghidup jenis tendang, manakala tangki bahan api maksimumnya ialah 4.2 liter.

Untuk pemberhentian yang selamat, Y15ZR V2 dilengkapi sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang. Empat pilihan warna menyerlah yang ditawarkan adalah seperti Striking Cyan, Dynamic Grey, Storm Blue dan Blazing Red. Setiap pembelian akan menerima kunci cakera Yamaha percuma bernilai RM100.00.