Honda RS150R model tahun 2020 kini lebih mengujakan

Pada tarikh 06hb. Januari 2020, Boon Siew Honda telah membuka lembaran tahun baru dengan pelancaran Honda RS150R model tahun 2020. Bagaimanapun pelancaran model RS150R ini agak mengecewakan kerana apa yang diharap-harapkan oleh peminat tempatan ialah pelancaran model sama seperti Honda Winner X yang dilancarkan di pasaran Vietnam pada bulan Julai 2019.

Bagaimanapun untuk model RS150R 2020 ini, ianya tetap tampil dengan rekaan yang dipertingkatkan melalui penampilan yang lebih sporty dan ditambah dengan sentuhan premium. Menurut Boon Siew Honda, selaras dengan konsep baharu yang diperkenalkan itu, fender belakang telah direka semula bagi menampilkan lampu brek yang lebih runcing sekaligus mempertingkatkan visual keseluruhan.

Selain daripada rekaan yang menonjol, Honda RS150R ini turut mendapat kemasan moden bagi mempertingkatkan keselesaan penunggang antaranya panel meter LCD digital baharu untuk paparan berteknologi tinggi. Fungsi terbaru ini untuk memudahkan penunggang melihat dengan jelas, terang dan lengkap setiap informasi di panel meter. Ciri ini menyampaikan lagi perwatakan RS150R yang lebih fokus kepada penunggang.

Honda RS150R model tahun 2020 ini turut didatangkan dengan rekaan grafik terbaharu lantas mengangkat rekaan sporty ke taraf yang lebih tinggi. Empat pilihan warna yang cukup menarik ditawarkan iaitu Hitam, Biru, Edisi Repsol termasuklah warna Trico Honda. Kekal dijana enjin 149.2cc empat valve DOHC 6 kelajuan yang berprestasi, ianya menghasilkan 11.5kW pada 9,000rpm dan 13.6Nm tork pada 6,500rpm.

Berikut ialah senarai harga asas yang ditawarkan untuk Honda RS150R 2020, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan :

  • 2020 Honda RS150R Standard (Trico, Black, Blue) : RM 8,199.00
  • 2020 Honda RS150R Edisi Repsol : RM 8,499.00

Honda RS150R baharu hadir bersama-sama jaminan kilang selama tempoh dua tahun atau 20,000km (mana-mana tiba dahulu) bagi memastikan pelanggan dapat menikmati penyelenggaraan berkualiti tinggi dan juga ketenangan minda.

(Visited 1,101 times, 1 visits today)