Pada Julai 1999, Modenas Jaguh dilancarkan

Salah sebuah model motosikal ikonik yang pernah dikeluarkan oleh syarikat Motosikal dan Enjin Nasional Sdn. Bhd. (Modenas) ialah Modenas Jaguh. Model bergaya cruiser itu dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad pada 19hb. Julai 1999, merupakan model kedua selepas kapcai Modenas Kriss 110cc.

Modenas Jaguh dikuasakan enjin bersesaran 174cc (SOHC, 4-stroke, Single Cylinder) dan dipadankan transmisi lima kelajuan. Jumlah kuasa maksimum yang dikeluarkan mencapai 16PS @ 8,500rpm dan tork puncak 13.7Nm @ 7,500rpm. Enjin tersebut dilengkapi sistem penyejuk jenis cecair dan sistem penghidup elektrik.

Mempunyai binaan rangka jenis double cradle, Jaguh turut dilengkapi sepasang fork depan teleskopik, manakala suspensi belakangnya terdiri daripada penyerap hentak berkembar. Untuk pemberhentian yang selamat, sistem brek depannya merupakan cakera tunggal double piston dan brek belakang daripada jenis dram.

Modenas Jaguh mempunyai dimensi panjang 2,155mm, lebar 765 mm, tinggi keseluruhan 1,025 mm dan jarak roda 1,460 mm. Ketinggian tempat duduknya hanya 680 mm sahaja. Tangki bahan api model cruiser berkenaan mampu menampung isian maksimum 14 liter, dan berat kering motosikal berada pada tahap 132 kg. Saiz tayar depan dan belakang masing-masing ialah 90/90-R17 dan 130/90-R15.

Menurut laporan daripada Bernama yang bertarikh 08hb. September 1999, tidak sampai dua bulan selepas ianya dilancarkan, Modenas Jaguh telah menerima tempahan sebanyak 16,000 unit berbanding jangkaan awalnya sebanyak 12,000 unit untuk sepanjang tahun tersebut. Jaguh ditawarkan pada harga sebanyak RM 7,500.00.

Tambah laporan Bernama itu lagi, Ketua Pegawai Eksekutif Emos, Nik Danial Nik Mahmood dilaporkan berkata, sebanyak 5,000 pembeli sudah menerima motosikal masing-masing, manakala 11,000 pembeli lagi akan menerima Jaguh dalam tempoh enam bulan selepas tarikh tempahan. Memang laris jualan Jaguh pada ketika itu.