SYM Maxsym TL500 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia

Model skuter maxi terbaharu SYM Maxsym TL500 dilaporkan bakal dilancarkan di pasaran Malaysia tidak lama lagi. Model tersebut sebelum ini muncul di pameran motosikal EICMA 2019 di Milan, Itali, dengan menawarkan reka bentuk yang sporty.

Menurut maklumat daripada wakil pengedar SYM di pasaran tempatan, SYM Maxsym TL500 ini bakal ditawarkan pada harga RM 35,888.00 (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan). Tempahan untuk model berkenaan juga kini telah dibuka.

SYM Maxsym TL500 dijana enjin dengan kapasiti 465cc (4-stroke engine, inline twin cylinder, 8-valve, DOHC, E.F.I), dan dipadankan transmisi jenis CVT. Kuasa yang dihasilkan mencapai 40hp @ 6,750rpm dengan tork puncak 42.5Nm @ 6,250rpm.

Skuter maxi berkenaan mempunyai berat 223 kg (curb weight), manakala ketinggian tempat duduk berada pada paras 795 mm. Tangki bahan apinya hadir dengan isian maksimum 12.5 liter. Suspensi depan merupakan jenis teleskopik dan belakang jenis lengan ayun. Sistem brek cakera ABS seterusnya melengkapkan ciri keselamatannya.

SYM Maxsym TL500 turut didatangkan rim aluminium depan dan belakang dengan diameter 15 inci, masing-masing dipasangkan tayar berukuran 120 / 70 R15 dan 160 / 60 R15. Menurut SYM, skuter maxi ini mempunyai kelajuan maksimum 139 km/j.

(Visited 135 times, 1 visits today)