JPJ nafi kenyataan tular pihaknya cadang benarkan Rohingya ambil lesen memandu

Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) tampil mempertahankan diri dan menafikan satu kenyataan tular di Facebook pagi ini.

Kenyataan yang dinafikan itu adalah “JPJ Cadang Benarkan Rohingya Ambil Lesen Memandu” yang nampak seperti berita rasmi.

Malah satu laporan sudah dibuat ke Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) berhubung kenyataan ‘mengelirukan’ itu.

JPJ dalam perkongsian di Facebook menyatakan:

“Jabatan Pengangkutan Jalan menafikan sekeras-kerasnya kenyataan yang disiarkan menerusi akaun Along Auto Parts dengan tajuk “JPJ Cadang Benarkan Rohingya Ambil Lesen Memandu”, menyerupai berita rasmi.

“JPJ memandang serius tindakan mana-mana pihak yang menghasilkan, mengubah suai atau menyebarkan kandungan dengan menggunakan nama, identiti atau imej Jabatan sehingga boleh mengelirukan masyarakat serta menjejaskan kredibiliti JPJ.

“Laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah dibuat bagi membolehkan siasatan dan tindakan sewajarnya diambil berhubung penyebaran kandungan berkenaan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menyebarkan maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya dan sentiasa merujuk saluran rasmi JPJ bagi mendapatkan maklumat yang tepat serta sahih.”