
ZXMOTO secara rasminya memperkenalkan jentera supersport ZXMOTO 820RR-RC Track Edition di Pameran Perdagangan Antarabangsa Motosikal China (CIMA Motor) 2026.
Jentera itu nampaknya hadir dengan seragam sama seperti motosikal lumba ZXMOTO yang digunakan dalam saingan WSSP musim 2026.

Harga yang diumumkan untuk ZXMOTO 820RR-RC Track Edition di China ialah 128,000 yuan (anggaran RM78,040).

Varian ZXMOTO 820RR-RC menggunakan enjin jenis tiga silinder sebaris 818.8cc DOHC 12-injap dengan sistem sejukan cecair dan minyak serta sistem suntikan bahan api BOSCH.
Motosikal ini mampu menghasilkan kuasa sebanyak 113 kW pada 13,500rpm dengan tork puncak 86Nm pada 10,000rpm. Kelajuan enjin boleh capai sehingga 14,750rpm.
Nisbah mampatannya lebih tinggi iaitu 14:1.
ZXMOTO 820RR-RC membolehkan penunggang mengubah kuasa, kawalan cengkaman dan pembrekan enjin sehingga tiga tahap penyelarasan.

Model ini menggunakan kotak gear manual 6-kelajuan dengan mekanisme kemasukan gear gaya GP (gear 1 sungkit, gear 2 hingga 6 tekan bawah) dengan ciri QuickShifter 2 arah.
Laporan tempatan di China menyatakan sistem ekzos titanium yang digunakan jenis straight-pipe. Meter jenis TFT 6.2 inci kegunaan trek. Model ini dikatakan ada ciri Kawalan Jelajah.
Frem motosikal diperbuat daripada aluminium dengan padanan subbingkai magnesium.
Sistem suspensi membabitkan fork KYB jenis terbalik (USD) 43mm yang boleh dilaras sepenuhnya. Monoshock pada pro-link di belakang juga jenama sama dan boleh dilaras juga.
Sistem henti datang dari jenama Brembo membabitkan kaliper 4 piston PRO1 dengan sepasang brek cakera 330mm untuk roda depan. Roba belakang dilengkapi cakera tunggal 220mm dengan kaliper 2 pistom Brembo P34.

Perincian lain ialah motosikal ini memiliki ukuran panjang 2,050mm, lebar 745mm dan tinggi 1,160mm.
Tayar depan 120/70 ZR17 dan belakang saiz 180/60 ZR17.
Jarak roda pula 1,420mm dengan tempat duduk setinggi 825mm. Berat kasar motosikal ialah 160kg. Tangki minyak 16 liter.
