
Bukan hanya model supersport mencuri perhatian ramai, motosikal cruiser pertama Zhang Xue iaitu ZXMOTO 600V juga menjadi topik perbincangan di China.
Perbincangan tertumpu kepada unit enjin. Tapi sebelum itu, harga yang diumumkan untuk cruiser ZXMOTO 600V di China ialah 27,980 yuan (anggaran RM17,059).

Guna enjin LONCIN?

Ada beberapa portal berita di China menyatakan enjin yang memacu ZXMOTO 600V dibekalkan pihak Loncin iaitu syarikat sama yang memiliki jenama VOGE.
Ini dikaitkan dengan kod enjin 600V iaitu ZX2V72MS yang dipercayai dibekalkan Loncin yang menggunakannya pada cruiser VOGE CU625 (LX2V72MS).
Malah ada model pengeluar lain dipercayai menggunakan enjin Loncin sama untuk Kaiyue 625V (juga dipanggil Kove 625V atau Brixton 625V di pasaran luar China).
Harga lebih mahal?

Harga ZXMOTO 600V adalah lebih mahal beberapa ribu yuan berbanding harga CU625 (25,666 yuan) dan Kaiyue 625V (24,980 yuan) di China.
Media di China menyatakan walaupun ada beza harga sehingga 3,000 yuan, cruiser jenama ZXMOTO ada beberapa tambahan ciri seperti Kawalan Jelajah, Quickshifter dua arah, pendikit elektronik dan salah satu silinder enjin boleh dimatikan seketika (idle) secara automatik.
Silinder enjin V-Twin yang boleh dinyahaktif ialah silinder belakang. Tempoh dimatikan dikatakan sehingga 600 saat atau 10 minit.
Antara tujuannya ialah mengurangkan haba panas, meningkatkan keselesaan penunggang dan penjimatan petrol. Silinder belakang itu akan kembali aktif sebaik pendikit minyak dipulas.
Ciri tambahan kedua iaitu Kawalan Jelajah (Cruise Control) sudah tentunya memudahkan perjalanan dengan membolehkan tangan penunggang ‘rehat’ seketika.
Apa lagi ada pada ZXMOTO 600V?

Model ini menggunakan sistem pacuan berasaskan tali sawat, bukannya rantai. Kotak gear masih klac manual 6 kelajuan dengan tambahan Slipper Clutch.
Enjin V-Twin 578cc itu mampu menghasilkan kuasa 45kW @ 8,500rpm dengan tork maksimum 61Nm pada 5,500rpm. Sebahagian besar hantaran tork boleh dirasai semasa 3,000rpm.
Ada tiga mode tunggangan ditawarkan iaitu Rain, Road dan Sport.
Satu lagi poin menarik tentang cruiser ZXMOTO 600V ialah beratnya. Difahamkan, berat kasar motosikal ZX ini ialah 195kg iaitu jauh lebih ringan sekitar 20 hingga 25kg berbanding model pesaing dari VOGE, QJ dan juga BENDA.
Tempat duduknya juga rendah iaitu 765mm yang memudahkan lagi kendalian di kawasan trafik tinggi. Jarak rodanya pula 1,495mm.
Tangki minyak 18 liter dikatakan boleh mencapai purata jarak tunggangan sehingga lebih 400km.
Cruiser Zhang Xue ini ada Sistem Brek ABS dua saluran. Kawalan Cengkaman (TCS) yang ada pula boleh dipadamkan jika mahu.
Rim depan 17 inci dengan tayar 130/70, roda belakang 16 inci berbalut tayar 180/65.
Sistem henti menggunakan brek depan cakera tunggal 320mm dengan kaliper 4-piston dibantu cakera tunggal 240mm kaliper satu piston.
Fork teleskopik depan jenis terbalik (USD) dipadankan dengan absober berkembar di belakang yang boleh laras lima tahap.
Meter jenis TFT berwarna, lampu depan berbentuk bulat dan menggunakan sistem pencahayaan LED. Ada soket USB.
