Konvoi 65 motosikal Honda bantu bersihkan Pantai Kuala Muda

Satu konvoi membabitkan sukarela yang menaiki 65 buah motosikal Honda singgah di Pantai Kuala Muda untuk menyempurnakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR), Ride to Reach.

Konvoi yang berlepas dari ibu pejabat Boon Siew Honda di Batu Kawan, Pulau Pinang membantu membersihkan kawasan pantai selain menjalinkan hubungan dengan komuniti setempat.

Kumpulan sukarelawan itu berganding bahu mengutip dan mengasingkan sampah yang ada di sekitar kawasan pantai tersebut.

Pemilihan Pantai Kuala Muda pula dibuat berdasarkan kepentingannya kepada komuniti nelayan dan penjaja tempatan yang meraih sumber rezeki di kawasan tersebut.

Program berkenaan dilaksanakan di bawah Ride to Reach yang menggunakan moto “We Care. We Serve. We Reach.”

Untuk rekod, program Ride to Reach dilancarkan pada Mei 2025 dan merangkumi beberapa aktiviti kemasyarakatan.

Antaranya termasuk program pendidikan keselamatan jalan raya di sekolah, bantuan banjir serta khidmat penyelenggaraan motosikal di Perak.

Aktiviti pembersihan Pantai Kuala Muda menjadi antara usaha terbaharu program tersebut dengan memberi tumpuan kepada penjagaan alam sekitar dan hubungan bersama komuniti.

Ketua Pegawai Pentadbiran Boon Siew Honda dan Pengerusi Ride to Reach, Rosidan Haron berkata:

“Falsafah Honda bukan sekadar sesuatu yang saya amalkan dalam pekerjaan tetapi sesuatu yang saya hayati dalam kehidupan.

“Saya membawanya bersama saya ke mana sahaja kerana ia mengingatkan saya bahawa segala yang kita lakukan perlu menghormati orang lain, berkhidmat kepada masyarakat dan membawa kegembiraan.

“Hari ini, kami menghayati falsafah tersebut. Kami menunjukkan bahawa apabila kita menunggang bersama dengan satu tujuan, kita mampu meninggalkan jejak yang lebih bersih dan hijau, selain membawa sedikit kegembiraan kepada mereka yang kita temui.”