Pada tahun 2022 yang lalu, model terbaharu Ducati Streetfighter V4 Lamborghini telah diperkenalkan sebagai model edisi terhad, berjumlah hanya 693 unit sahaja. Menariknya pada dua hari yang lepas, model naked berkenaan rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia.
Untuk pasaran tempatan, hanya dua unit sahaja yang ditawarkan, dengan harga asas sebanyak RM 460,900.00. Pemilik pertama model tersebut ialah Datuk Nazir Hussin Akhtar Husin, yang sebelum ini turut membeli model Ducati Superleggera V4 dengan harga RM 888,000.00
Imbas kembali spesifikasinya, Ducati Streetfighter V4 Lamborghini dikuasakan enjin bersesaran 1,103cc dengan hamburan maksimum 208hp @ 13,000rpm dan tork 123Nm @ 9,500rpm. Model tersebut seterusnya dilengkapi klac jenis kering, sama seperti jentera MotoGP dan WSBK.
Di bahagian suspensi depan, ianya merupakan unit Öhlins Smart EC 2.0 semi-active, sementara sistem brek dilengkapi kaliper Stylema dan cakera 330 mm. Pakej aerodinamiknya berasaskan ‘carbon biplane wings’ untuk kestabilan pada kelajuan tinggi, dan berat penuhnya 197.5 kg.
Selain Ducati Streetfighter V4 Lamborghini, pasaran Malaysia sebelum ini ditawarkan dua model lain di dalam siri yang sama. Dua model itu ialah Ducati Streetfighter V4 dan Ducati Streetfighter V4 S, masing-masing dengan harga RM 141,900.00 dan RM 165,900.00.