Yamaha Exciter 155 VVA ABS 2023 rasmi dilancarkan di pasaran Vietnam

Yamaha Motor Vietnam pada hari ini rasmi melancarkan model moped Yamaha Exciter 155 VVA ABS 2023, yang kini tampil dengan reka bentuk facelift terbaharu yang lebih sporty dan agresif. Malah lebih dari itu, model tersebut kini juga dilengkapi sistem brek ABS dengan ciri dua piston di bahagian roda depannya, demi meningkatkan lagi tahap keselamatannya.

Generasi pertama Yamaha Exciter 155 VVA sebelum ini dilancarkan di pasaran Vietnam pada bulan Februari 2020. Ianya kemudian dilancarkan di pasaran Malaysia dengan nama Yamaha Y16ZR, pada bulan Mac 2021. Namun mungkin kerana prestasi jualan yang agak kurang memuaskan, menyebabkan model tersebut pantas menerima naik taraf terbaharu.

Sebelum ini, Arena Motosikal turut membuat jangkaan bahawa model itu akan menerima beberapa naik taraf terkini bagi merancakkan lagi jualannya, terutamanya bagi memberikan saingan kepada model Honda Winner X (Honda RS-X) yang terlebih dahulu tampil dengan sistem brek ABS. Namun begitu masih banyak naik taraf lain yang masih ditangguhkan.

Berdasarkan maklumat dari Vietnam, Yamaha Exciter 155 VVA ABS 2023 ini kekal dengan enjin daripada model sebelumnya, namun telah dipertingkatkan lagi prestasinya. Model itu kini dikatakan lebih cekap tahap penggunaan bahan apinya. Jumlah kuasa yang dihasilkan berada pada paras 17.9hp @ 9,500rpm, dengan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm.

Spesifikasi lain masih sama seperti model generasi sebelumnya, namun dirasakan semua naik taraf terkini pada ketika ini dirasakan sudah memadai. Untuk pasaran Vietnam, model moped tersebut didatangkan dalam empat pilihan varian, dengan harga jualan bermula dari 48,000,000 VND (RM 9,258.62), sehinggalah mencapai 55,000,000 VND (RM 10,608.84).

Untuk pasaran Malaysia, ketika ini belum ada maklumat tepat bilakah Yamaha Y16ZR ABS 2023 akan dilancarkan. Namun pada tarikh 17 September 2023 nanti, Hong Leong Yamaha Motor bakal melakukan previu untuk sebuah model baharu, bertempat di Karnival Gen Blu Yamaha di Tempat Letak Kereta Kompleks Sukan Likas, Kota Kinabalu, di negeri Sabah.

Adakah ianya previu model moped Yamaha Y16ZR ABS 2023? Untuk maklumat yang lebih tepat, sama-samalah kita nantikannya. Sebelum itu, anda boleh saksikan dahulu gambar-gambar menarik Yamaha Exciter 155 VVA ABS 2023 di dalam galeri di bawah, sumber dari tinhte.vn dan thanhnien.vn. Maklumat yang lebih lengkap akan menyusul kemudian.