Yamaha Y16ZR 2021 rasmi dilancarkan di pasaran Malaysia, harga jualan asas RM 10,888.00 sahaja

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) hari ini dengan rasminya melancarkan model moped Yamaha Y16ZR 2021 serba baharu, untuk pasaran Malaysia. Harga asas yang ditawarkan untuk model yang selama ini dinanti-nantikan ini adalah sebanyak RM 10,888.00 sahaja, yang pastinya berpatutan dengan apa yang ditawarkan olehnya.

Yamaha Y16ZR dikuasakan enjin berkapasiti 155cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valve, SOHC, liquid-cooled) dengan gandingan teknologi canggih iaitu VVA (Variable Valve Actuation), seterusnya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin berprestasi itu mencapai angka 17.7hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm.

Yamaha Y16ZR dilengkapi pelbagai ciri-ciri dan spesifikasi menarik, antaranya tangki bahan api dengan kapasiti maksimum 5.4 liter, sistem kunci pintar, paparan meter digital dengan dasar gelap, lampu depan tinggi dan rendah berasingan, brek cakera depan dengan kaliper 2-pot baharu, lampu belakang LED baharu, tempat duduk baharu yang bergaya, penarik tuas klac lebih pendek dan rangka baharu serba ringan dan kuat.

Aspek teknikal standard lain yang dibekalkan untuk Yamaha Y16ZR antaranya seperti suis pemati enjin, suis lampu untuk memotong (passing light), rantai yang kini lebih tahan lama dan beroperasi lebih lancar, tayar depan dan belakang yang masing-masing berukuran 90 / 80-17M / C 46P dan 120 / 70-17M / C 58P dan soket pengecas 12V DC.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha Y16ZR 2021 serba baharu ini didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu Phantom Grey, Racing Yellow dan Arrow Blue. Menurut HLYM, untuk setiap pembelian 5,000 unit pertama model Yamaha Y16ZR serba baharu ini, setiap pembeli akan menerima cenderahati eksklusif berupa beg kunci Y16ZR.

Selain itu antara berita menarik yang diumumkan oleh HLYM pada hari ini ialah model Yamaha Y15ZR V2 akan tetap diteruskan jualannya di pasaran Malaysia. Ini bermakna peminat motosikal tempatan kini mempunyai pilihan untuk memiliki sama ada Yamaha Y16ZR, atau Yamaha Y15ZR V2 yang dijual pada harga yang lebih mampu milik.

Artikel Popular Minggu Ini :