Yamaha Exciter 155 VVA 2021 serba baharu dilancarkan untuk pasaran Vietnam, kelajuan maksimum 145 km/j

Yamaha Motor Vietnam hari ini secara rasminya melancarkan model moped yang ditunggu-tunggu iaitu Yamaha Exciter 155 VVA 2021 serba baharu. Untuk pasaran Vietnam, Yamaha Exciter 155 VVA 2021 didatangkan dalam dua varian iaitu Standard Version dan Premium Version, dengan empat pilihan skim warna yang menarik.

Bagi model Standard Version dan Premium Version, tiga pilihan warna yang tersedia ialah Hitam, Merah dan Putih, dengan tambahan skim warna GP Edition untuk model Premium Version. Harga yang ditawarkan pula bermula 46,990,000 VND bagi model Standard Version (bersamaan RM 8,232.93) dan 49,990,000 VND (bersamaan RM 8,758.55) untuk model Premium Version. Versi GP Edition mempunyai tanda harga yang paling tinggi iaitu 50,490,000 VND, bersamaan RM 8,846.15 (kadar semasa).

Yamaha Exciter 155 VVA 2021 dikuasakan enjin bersesaran 155cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valve, SOHC, liquid-cooled) yang digandingkan dengan teknologi canggih VVA (Variable Valve Actuation), seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan bersama-sama sistem Assist & Slipper Clutch. Jumlah kuasa maksimum yang dihasilkan oleh enjin itu mencapai 17.7hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 14.4Nm @ 8,000rpm.

Sistem suspensi Yamaha Exciter 155 VVA 2021 didapati masih sama seperti model Exciter 150, kecuali fork depan dikatakan ditala semula untuk tahap damping yang lebih cekap. Sistem brek pula masih belum dilengkapi ABS. Tayar depan dan belakang tanpa tiub juga masih dikekalkan saiz terdahulu iaitu 90 / 80-17M / C 46P dan 120 / 70-17M / C 58P. Namun berita baiknya ialah tangki minyak mempunyai kapasiti penuh 5.4 liter.

Yamaha Exciter 155 VVA 2021 seterusnya dilengkapi lampu depan dan lampu belakang LED rekaan baharu, di mana lampu depan kini mempunyai dua posisi di bahagian atas dan bawah. Lampu DRL juga tampil dengan rekaan baharu yang digabungkan dengan lampu LED di bahagian bawah, menjadikan sistem pencahayaan yang lebih terang dan jelas, pada masa yang sama menawarkan pandangan hadapan yang lebih sporty.

Selain itu paparan panel meter digital juga tampil dengan rekaan baharu, menawarkan pelbagai maklumat penting yang diperlukan. Berdasarkan maklumat di dalam laman sesawang Yamaha Motor Vietnam, kerangka atau casis Yamaha Exciter 155 VVA 2021 ini telah direka semula sepenuhnya bagi memuatkan enjin 155 VVA, pada masa yang sama menawarkan lebih kestabilan pada kelajuan tinggi dan di kawasan selekoh.

Ciri-ciri standard lain yang dibekalkan untuk Yamaha Exciter 155 VVA 2021 antaranya termasuklah suis pemati enjin, suis lampu untuk memotong (passing light), rantai yang kini lebih tahan lama dan beroperasi lebih lancar, tempat duduk dengan rekaan baharu yang lebih selesa untuk tunggangan solo dan rekaan mudguard belakang baharu.

Oleh kerana Yamaha Exciter 155 VVA 2021 ditawarkan dalam dua model iaitu Standard Version dan Premium Version, sudah tentu ada beberapa perbezaan di antara kedua-duanya. Perbezaannya ialah model Premium Version dilengkapi sistem brek cakera depan dengan ciri dua piston, berbanding satu piston untuk model Standard Version. Selain itu kelebihan model Premium Version ialah ianya dilengkapi sistem Smart Key yang canggih dan soket pengecas 12V untuk mengecas telefon pintar dan gajet.

Akhir sekali antara ciri yang paling dinanti-nantikan ialah berapakah kelajuan maksimum Yamaha Exciter 155 VVA 2021. Berdasarkan pemerhatian di dalam video promosi yang disiarkan di dalam laman YouTube Yamaha Motor Vietnam, Yamaha Exciter 155 VVA 2021 mampu mencapai kelajuan maksimum sehingga 145 km/j. Anda boleh melihat sendiri imej yang memaparkan kelajuan meter model tersebut di dalam galeri di bawah.

Secara keseluruhannya, Yamaha Exciter 155 VVA 2021 merupakan sebuah model serba baharu sepenuhnya yang direka untuk menggantikan model Yamaha Exciter 150. Namun begitu setakat ini tidak dapat dipastikan sama ada ianya akan menggantikan jualan Yamaha Exciter 150 di pasaran Vietnam, atau kedua-dua model tersebut akan tetap dijual bersama-sama sebagai pilihan kepada pengguna motosikal di sana.

Untuk pasaran Malaysia, Yamaha Y15ZR V3 dijangka akan dilancarkan pada separuh kedua tahun depan, namun model Yamaha Y15ZR V2 dikatakan akan terus ditawarkan di pasaran tempatan. Bagi peminat tegar yang mahukan prestasi yang lebih tinggi, pastinya akan memilih Yamaha Y15ZR V3. Sama-sama kita nantikan ketibaannya.