Yamaha Exciter 155 VVA 2023 (Standard Version – Non-ABS) di pasaran Vietnam, harga 48,000,000 VND

Yamaha Motor Vietnam pada kelmarin telah melancarkan model Yamaha Exciter 155 VVA 2023 versi facelift dan naik taraf terbaharu, dalam lima pilihan varian kesemuanya. Berikut ialah senarai lima varian tersebut :

  • Yamaha Exciter 155 VVA 2023 (Standard Version – Non-ABS)
  • Yamaha Exciter 155 VVA 2023 (Premium Version – Non-ABS)
  • Yamaha Exciter 155 VVA 2023 (Premium Version – ABS)
  • Yamaha Exciter 155 VVA 2023 (Limited Edition GP – ABS)
  • Yamaha Exciter 155 VVA 2023 (Limited Edition Monster Energy MotoGP – ABS)

Melihat kepada senarai di atas, ini bermakna Yamaha Exciter 155 VVA 2023 bagi varian Standard Version tidak dilengkapi sistem brek ABS. Bagi varian Premium, ianya ditawarkan dalam dua versi iaitu Non-ABS dan ABS. Varian teratas iaitu Limited Edition GP dan Limited Edition Monster Energy MotoGP, kedua-duanya dilengkapi dengan sistem brek ABS.

Bagi varian Standard tanpa sistem brek ABS, harga jualannya ialah 48,000,000 VND, iaitu bersamaan nilai RM 9,265.71 mengikut kadar semasa. Walaupun ianya merupakan varian permulaan, model berkenaan tetap tampil dengan beberapa naik taraf terkini yang menarik.

Antaranya ialah rekaan baharu di bahagian hadapan, tempat duduk dipertingkatkan tahap keselesaan, rekaan baharu lampu belakang, rekaan baharu fender @ mudguard belakang, naik taraf sistem suspensi, dan juga naik taraf pada bahagian sistem intake dan ekzos.

Di bahagian enjin, ianya kekal sama iaitu berkapasiti 155cc, dengan kuasa maksimum pada 17.7hp @ 9,500rpm dengan tork 14.4Nm @ 8,000rpm (sumber dari laman sesawang rasmi Yamaha Motor Vietnam). Namun menurut laporan kelmarin, jumlah kuasa telah meningkat kepada 17.9hp @ 9,500rpm. Tidak pasti maklumat yang mana satukah yang lebih tepat.

Spesifikasi lain pada Yamaha Exciter 155 VVA 2023 bagi varian Standard Version ini ialah seperti sistem transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch, tangki petrol 5.4 liter, lampu depan LED dengan lampu DRL, lampu belakang LED, panel meter digital, suis pemati enjin, suis lampu untuk memotong (passing light), dan tayar berukuran 90/80-17 dan 120/70-17.

Untuk pasaran Vietnam, Yamaha Exciter 155 VVA 2023 bagi varian Standard Version tanpa sistem brek ABS ini didatangkan dengan tiga pilihan warna menarik iaitu Black – Gray, Red – Gray dan Yellow – Gray. Anda boleh saksikannya seperti mana dalam galeri di bawah.