Suzuki Raider R150 dijangka akan menerima naik taraf enjin yang lebih besar dan reka bentuk baharu lebih sporty

2022 Suzuki Satria F150 Special Edition

Pada bulan Jun 2022 yang lepas, Suzuki Raider R150 2022 di pasaran Vietnam telah menerima kemaskini warna baharu yang lebih menarik. Kemudiannya baru-baru ini pula di pasaran Indonesia, model moped yang sama namun dikenali sebagai Suzuki Satria F150 2022, tampil dalam versi Limited Edition dengan skim warna yang lebih sporty.

Namun hakikatnya Suzuki Raider R150 termasuk yang ditawarkan di pasaran Malaysia, masih lagi mengekalkan jumlah sesaran enjin yang sama, sejak ianya dilancarkan pada tahun 2016 yang lalu. Ketika ini model-model saingannya seperti Yamaha Y16ZR, SYM VF3i 185, Benelli R18i, malah Aveta SVR180, telah dilengkapi enjin yang lebih besar.

Selain enjin 147.3cc yang boleh dikatakan kecil, reka bentuk Suzuki Raider R150 ketika ini juga dikatakan telah lama, dan memerlukan rombakan baharu secara besar-besaran. Sekurang-kurangnya model Yamaha Y16ZR dan Honda RS-X @ Winner X, merupakan contoh terbaik bagaimana model moped era masa kini berevolusi menjadi lebih sporty.

Persoalannya ialah adakah Suzuki Raider R150 generasi serba baharu dengan kapasiti enjin yang lebih besar, reka bentuk baharu yang lebih sporty dan agresif, serta teknologi dan ciri-ciri terkini yang lebih canggih, akan diperkenalkan tidak lama lagi? Jawapannya ialah kemungkinan itu tetap ada, berdasarkan maklumat daripada beberapa sumber.

Antaranya ialah sumber yang boleh dipercayai dari Vietnam, yang mengatakan bahawa Suzuki bakal memperkenalkan Raider R150 versi naik taraf terbaharu, yang akan tampil lebih sporty dengan gaya rekaan terkini yang sukar ditandingi. Maklumat tersebut boleh dipercayai, kerana reka bentuk Raider R150 pada ketika ini telah pun berusia 6 tahun.

Selain daripada kapasiti enjin yang lebih besar dan lebih berkuasa, Suzuki Raider R150 serba baharu itu juga dikatakan bakal dilengkapi dengan pelbagai teknologi dan ciri-ciri terkini yang canggih, antaranya sistem brek dengan ABS untuk tahap keselamatan yang lebih baik. Jangkaan pelancarannya pula mungkin pada tahun depan atau seterusnya.

Apabila dilancarkan nanti, adakah ianya akan dikenali dengan nama baharu yang lebih menarik, bersesuaian dengan enjinnya yang kini lebih besar? Mungkin ianya nanti akan dikenali sebagai Suzuki Raider R165, atau mungkinkah Suzuki Raider R185? Apa yang penting ialah akan tiba perubahan baharu, bukan sekadar skim warna baharu sahaja.