Berapakah ‘top speed’ supermoped Aveta SVR180 2022?

Supermoped terbaharu di pasaran Malaysia iaitu Aveta SVR180 2022 telah dilancarkan di pasaran Malaysia dalam bulan Julai 2022 yang lepas. Model tersebut dilengkapi enjin 175cc (4-stroke, DOHC, liquid-cooled) dengan padanan sistem transmisi enam kelajuan yang lancar. Namun apa yang menjadi kontroversi ialah harga jualannya yang premium.

Sebelum itu dimaklumkan bahawa Aveta SVR180 merupakan sebuah model motosikal keluaran China, dihasilkan oleh syarikat Rato Motorcycle. Model tersebut kemudiannya telah dijenamakan semula (rebadge) oleh syarikat pengeluar motosikal tempatan Aveta, dengan harga jualan asas RM 9,988.00 (tanpa pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Harga yang ditetapkan itu sememangnya tinggi dan hampir sama dengan harga model SYM VF3i 185 LE V2 2022 dan SYM VF3i 185 Pro 2020 yang dikuasakan enjin 183cc. Sebuah lagi model lain ialah Benelli R18i, yang dijual dengan harga asas RM 7,999.00. Walau pun harga Aveta SVR180 ini tinggi, pengeluarnya tentu ada alasan munasabah.

Selanjutnya, apa yang sangat dinanti-nantikan oleh ramai peminat motosikal tempatan sejak Aveta SVR180 dilancarkan ialah mengenai kelajuan maksimumnya yang berjaya dicapai. Seperti biasa, pertanyaan mengenai ‘top speed’ sesebuah motosikal terbaharu seperti Aveta SVR180 ini adalah sangat penting, sebelum keputusan pembelian dibuat.

Namun begitu berdasarkan carian melalui Google dan YouTube, masih belum terdapat sesi tunggang uji yang dilakukan oleh mana-mana pemilik Aveta SVR180, bagi menguji kelajuan maksimumnya yang sebenar. Bagaimanapun berdasarkan hasil carian melalui laman Facebook, terdapat beberapa maklumat tidak rasmi yang agak boleh dipercayai.

Menurut maklumat yang diperolehi itu, Aveta SVR180 dikatakan mampu mencapai ‘top speed’ tertinggi sehingga 160 km/j. Angka tersebut dipercayai merujuk kepada paparan pada speedometer, bermakna kelajuan pada sistem GPS mungkin sekitar 130 km/j dan 140 km/j, masih lagi impresif dan setaraf dengan model-model supermoped yang lain.

Diharapkan selepas ini ada pemilik Aveta SVR180 yang akan melakukan ujian kelajuan secara rasmi, termasuk menggunakan rakaman video sebagai bukti. Jika ianya mampu mencapai kelajuan maksimum setara dengan model-model lain, sudah pasti ianya akan mendapat perhatian daripada ramai peminat motosikal moped di pasaran negara kita.