Pada dua hari yang lepas Yamaha Motor Vietnam rasmi memperkenalkan Yamaha NVX 155 VVA 2023, yang kini telah menerima kemaskini warna baharu yang kelihatan lebih sporty dan trendy. Untuk pasaran Vietnam, model skuter tersebut boleh dimiliki dengan harga jualan sebanyak 55,000,000 VND, bersamaan RM 10,620.73 (kadar semasa).
Selain daripada empat pilihan warna baharu, Yamaha NVX 155 VVA 2023 kekal dengan spesifikasi dan ciri-ciri seperti model tahun sebelumnya. Antaranya ialah enjin Blue Core 155cc (4-stroke, 4-valves, SOHC, liquid cooled) VVA dengan transmisi CVT. Keluaran kuasa maksimumnya mencapai 15.4PS @ 8,000rpm dengan tork 13.9Nm @ 6,500rpm.
Model berkenaan seterusnya dilengkapi lampu depan LED, panel meter digital pelbagai fungsi, tangki bahan api 5.5 liter, ruang di bawah tempat duduk seluas 25 liter, saiz tayar depan dan belakang yang lebar, suspensi belakang dengan tangki minyak hidraulik, dan termasuklah tempat duduk yang selesa untuk penunggang dan juga pemboncengnya.
Yamaha NVX 155 VVA 2023 di pasaran Vietnam ditawarkan dalam versi teratas sahaja, bermakna ianya dilengkapi dengan spesifikasi penuh seperti sistem aplikasi Y-Connect yang canggih, sistem Smart Key, sistem Stop & Start dan port pengecas telefon bimbit. Model skuter yang sporty itu turut didatangkan dengan kelengkapan sistem brek ABS.