SYM Malaysia (MForce Bike Holdings Sdn. Bhd.) baru-baru ini telah memperkenalkan model moped berprestasi tinggi SYM VF3i 185 LE V2 2022, yang kini tampil lebih sporty dan agresif dengan skim warna baharu Royal Orange. Berdasarkan maklumat di dalam laman Facebook, model tersebut dijual dengan harga asas sebanyak RM 9,738.00.
SYM VF3i 185 LE V2 2022 ini merupakan versi kedua, selepas versi pertama SYM VF3i 185 LE yang dilancarkan pada pertengahan tahun 2020 yang lepas. Bagi versi pertama, ianya ditawarkan dalam jumlah terhad 5,000 unit sahaja pada mulanya, namun selepas itu pengeluarannya ditambah lagi sebanyak 5,000 unit, disebabkan pemintaan tinggi.
Bagi versi kedua ini, tidak dapat dipastikan berapakah jumlah pengeluaran sebenarnya, mungkin masih dalam angka 5,000 unit. Aspek spesifikasi teknikalnya pula masih kekal sama, iaitu dikuasakan enjin 183cc dengan kuasa maksimum 19.7hp @ 9,000rpm dan tork maksimum 17.4Nm @ 7,500rpm, seterusnya dipadankan transmisi enam kelajuan.
Ciri-ciri menarik yang melengkapi SYM VF3i 185 LE V2 2022 ini termasuklah visor aero (penghadang angin aerodinamik), speedometer yang bergaya dengan paparan pelbagai informasi, lampu DRL jenis LED yang terang, lampu belakang LED, brek cakera dengan ABS, tayar 90/80-R17 (depan) dan 120/70-R17 (belakang), dan tangki petrol 7.0 liter.
Di pasaran tempatan, model moped dengan enjin paling besar ini kini bersaing dengan beberapa buah model moped popular yang lain, seperti Yamaha Y16ZR, Honda RS-X, Benelli R18i, dan juga model terbaharu Suzuki Raider R150 Fi. Dengan pelbagai pilihan yang ada, pasaran Malaysia kini menjadi pasaran model moped terbesar di ASEAN.
Sumber gambar : BLH Motor, Ee Tiong Motorsports Sdn. Bhd. & LSN Part Centre