Suzuki Raider R150 2022 dan Suzuki Satria F150 2022 terima pilihan warna baharu di pasaran Vietnam

Dalam bulan Jun 2022 yang lepas, dua model yang sama namun berlainan nama iaitu Suzuki Raider R150 2022 dan Suzuki Satria F150 2022, telah menerima pilihan warna terbaharu di pasaran Vietnam. Kedua-dua model berkenaan menggunakan skim warna terbaharu berlainan, namun sebenarnya corak grafik yang digunakan adalah sama.

Untuk model Raider R150, dua skim warna terbaharu yang diperkenalkan itu ialah Red / Black dan Blue / Black, manakala Satria F150 diperkenalkan dengan warna terbaharu White / Red / Black dan Black / Red. Setakat ini tidak dapat dipastikan kenapa pasaran Vietnam telah ditawarkan kedua-dua model yang sama spesifikasi itu secara serentak.

Suzuki Raider R150 2022 ditawarkan di pasaran Vietnam dengan harga sebanyak VND 50,990,000, bersamaan nilai RM 9,761.66. Suzuki Satria F150 2022 yang diimport dari Indonesia pula mempunyai tanda harga yang sedikit tinggi VND 52,990,000, bersamaan RM 10,144.54. Untuk pasaran Malaysia pula, harga yang ditawarkan lebih kompetetif.

Suzuki Raider R150 2022 di pasaran Malaysia, dengan skim warna yang sama seperti di pasaran Vietnam, ditawarkan dengan harga asas sebanyak RM 8,173.00. Setakat ini model tersebut mendapat sambutan yang hangat daripada peminat motosikal tempatan, namun kelibatnya agak sukar didapati berbanding model-model moped popular lain.

Galeri : Suzuki Raider R150 2022 (Vietnam)

Galeri : Suzuki Satria F150 2022 (Vietnam)