Model kembara Modenas Versys 650 2023 bakal dilancarkan di pasaran Malaysia pada tahun depan

Modenas baru-baru ini dengan rasminya melancarkan dua buah model terbaharu hasil kerjasama dengan Kawasaki, iaitu Modenas Ninja 250 dan Modenas Z250 di pasaran Malaysia. Bagi segmen 650cc, Modenas turut mengumumkan bahawa syarikat itu bakal melancarkan model-model seperti Ninja 650, Z650, Vulcan S 650, dan Versys 650.

Kesemua model-model motosikal Kawasaki dengan enjin 650cc itu akan dijenamakan semula oleh Modenas, dan akan dipasang secara CKD di fasiliti mereka yang terletak di Gurun, Kedah. Di antara model-model 650cc berkenaan, Modenas Versys 650 dijangka akan mendapat perhatian ramai terutamanya di kalangan peminat motosikal kembara.

Modenas Versys 650 2023 yang bakal dilancarkan itu merupakan generasi terkini yang baru saja menerima perubahan wajah terbaharu (new facelift version). Wajah depannya kini mirip model yang lebih besar iaitu Kawasaki Versys 1000.

Beralih ke bahagian penjana kuasa, Modenas Versys 650 2023 masih dikuasakan enjin yang sama, iaitu dalam sesaran 649cc (Liquid-cooled, 4-stroke Parallel Twin, DOHC, 8 valves) dengan kuasa maksimum 67PS @ 8,500rpm dan tork 61Nm @ 7,000rpm. Enjin yang berprestasi itu kemudiannya dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan.

Spesifikasi dan ciri-ciri menarik pada model kembara itu termasuklah tangki bahan api 21 liter, fork depan upside down, brek cakera depan 300 mm berkembar dengan kaliper dua piston, sistem ABS dua saluran, KTRC (Kawasaki Traction Control), dan juga skrin penghadang angin dengan empat tahap pelarasan manual untuk lebih perlindungan.

Selain itu ialah paparan instrumen TFT 4.3 inci dengan sambungan Bluetooth ke telefon pintar (smartphone connectivity), bersama-sama lampu depan LED sepenuhnya. Harga jualan asasnya pula dijangkakan berpatutan. Untuk rujukan, Kawasaki Versys 650 2023 di pasaran Indonesia ketika ini dijual dengan harga Rp. 211,500,000 (RM 64,263.30).