Web Analytics
Benelli R18i 2021 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, enjin bersesaran 174cc, harga asas bermula dari RM 7,999.00 – Arena Motosikal

Arena Motosikal

Informasi Motosikal Terkini

Benelli R18i 2021 dilancarkan untuk pasaran Malaysia, enjin bersesaran 174cc, harga asas bermula dari RM 7,999.00

Benelli Malaysia hari ini dengan rasminya melancarkan sebuah model moped terbaharu yang diberi nama Benelli R18i 2021. Didatangkan dalam dua varian iaitu Standard dan Special Edition, harga asas untuk model berkenaan sangat kompetetif iaitu bermula dari hanya RM 7,999.00 sahaja (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).

Benelli R18i dikuasakan enjin 174cc (single-cylinder, 4-stroke, 4-valves, SOHC) dengan padanan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum 18hp @ 9,500rpm dengan tork maksimum 15.1Nm @ 7,000rpm. Enjin tersebut dilengkapi ‘throttle body’ 34 mm yang berupaya meningkatkan prestasi enjin dan memberikan tindak balas pantas.

Selain itu enjin tersebut juga dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik, tiga palam pencucuh (B3SP System) dan tangki petrol dengan kapasiti penuh 4.8 liter. Spesifikasi Benelli R18i seterusnya termasuklah fork depan jenis upside-down, suspensi belakang KYB dengan ciri boleh laras dan sistem brek cakera depan dan belakang yang mantap.

Benelli R18i turut didatangkan ciri-ciri seperti lampu depan projektor, lampu DRL yang terang, lampu belakang LED, panel meter digital LCD, tuil brek dan klac boleh laras, ruang kompatmen yang luas di bahagian depan, balutan tempat duduk dengan tekstur yang selesa dan sistem kunci dengan penutup jenis magnetik yang lebih selamat.

Di bahagian roda, Benelli R18i mempunyai tayar depan berukuran 80/80-17, manakala di bahagian belakangnya ialah tayar berukuran 120/70-17. Ketinggian tempat duduknya berada pada paras 787 mm, dengan berat hanya 126 kg. Pilihan warna yang tersedia ialah Merah dan Hitam untuk varian Standard dan Biru untuk varian Special Edition.

Dengan pelancaran Benelli R18i 2021 ini, boleh dikatakan ianya merupakan naik taraf untuk model Benelli RFS150i, yang setakat ini belum pasti sama ada jualannya selepas ini akan diteruskan atau pun tidak. Dengan enjin bersesaran hanya 174cc, ini bermakna spekulasi enjin sebesar 200cc pada model berkenaan kini tidak menjadi kenyataan.

Di pasaran tempatan, Benelli R18i akan bersaing dengan model-model moped popular yang lain seperti Honda RS150R, Yamaha Y15ZR, Yamaha Y16ZR dan juga SYM VF3i 185. Setakat ini Benelli R18i masih belum dilengkapi sistem brek ABS, dan mungkin disebabkan itu juga harga yang ditawarkan untuk model berkenaan begitu kompetetif.

Dari segi reka bentuk, didapati Benelli R18i tampil sebagai sebuah model facelift untuk model Benelli RFS150i. Mungkin ini adalah berita baik kepada pemilik sedia ada Benelli RFS150i yang boleh menaik taraf motosikal mereka dengan menggunakan ‘cover set’ asli milik Benelli R18i. Akhir kata, apa pendapat anda mengenai Benelli R18i 2021 ini?

 
Arena Motosikal © 2023