Harga jualan asas Yamaha 135LC untuk musim 2022 telah dinaikkan, kini bermula dari RM7,248.00

Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) telah mengumumkan harga baru untuk beberapa buah model motosikal dan skuter keluarannya, yang melibatkan model-model seperti Yamaha 135LC, Yamaha Ego Avantiz, Yamaha Ego Gear, Yamaha NVX (versi non-ABS) dan Yamaha NMAX. Untuk model Yamaha 115Z dan Yamaha Y15ZR pula, harga asas untuk kedua-duanya masih kekal sama dan tiada sebarang perubahan.

Bagi model moped popular Yamaha 135LC, harga jualan yang ditawarkan pada tahun 2021 adalah sebanyak RM 6,868.00 untuk versi Standard dan RM 7,118.00 untuk versi Special Edition. Kini untuk tahun 2022, harga jualan asas yang ditetapkan untuk model tersebut telah bermula dari RM 7,248.00 untuk versi Standard dan RM 7,548.00 untuk versi Special Edition, perbezaan masing-masing sebanyak RM 380.00 dan RM 430.00.

Setakat ini tidak dapat dipastikan kenapa berlakunya kenaikan harga asas untuk model Yamaha 135LC dan juga untuk lain-lain model keluaran HLYM, namun menurut laman blog Paultan.org, ianya dikatakan selaras dengan penetapan baharu Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan Malaysia baru-baru ini. Atau lebih tepat lagi, kenaikan harga itu adalah selepas tamatnya tempoh pengecualian duti eksais untuk model-model CKD di bawah 150cc, pada tarikh 31hb. Disember 2021.

Namun melihat kepada pengumuman terkini daripada HLYM, harga asas untuk Yamaha 135LC pada tahun lepas sebenarnya tidak terkesan dengan pengecualian duti eksais yang telah diumumkan oleh pihak kerajaan, yang bermula dari tempoh 01hb. April 2021 sehingga 31hb. Disember 2021. Ini bermakna harganya untuk tahun 2021 adalah sama tanpa sebarang perubahan, dan tiba-tiba harganya untuk tahun 2022 telah dinaikkan.

Untuk peminat motosikal tempatan, tentunya merasa kecewa apabila harga jualan asas untuk motosikal telah dinaikkan, di saat pandemik Covid 19 dan juga musibah bencana banjir masih lagi berlaku. Namun pihak kerajaan Malaysia tentunya mempunyai alasan yang kukuh untuk menaikkan harga jualan asas untuk beberapa buah model motosikal dan skuter di pasaran negara kita, cuma masa kenaikannya dirasakan kurang sesuai.

Untuk makluman anda, HLYM dijangka bakal melancarkan model Yamaha 135LC 2022 versi baharu tidak lama lagi, berdasarkan bukti-bukti daripada gambar-gambar spyshot yang tersebar di dalam laman sosial baru-baru ini. Oleh kerana model baharu itu bakal menerima beberapa naik taraf terkini dari segi kosmetik dan spesifikasi teknikal, harga jualannya nanti dijangka akan melebihi harga Yamaha 135LC versi semasa ketika ini.