Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) hari ini secara rasminya memperkenalkan Yamaha 135LC 2021 untuk pasaran Malaysia. Model tersebut kini tampil dengan empat pilihan warna dan rekaan grafik baharu yang lebih sporty dan menyerlah iaitu Stealth Gold (Special Edition), Cyan Metallic, Fiery Red dan Yamaha Blue.
Aspek spesifikasi teknikal Yamaha 135LC 2021 bagaimanapun didapati masih kekal sama seperti mana model terdahulu iaitu Yamaha 135LC 2019 yang dilancarkan pada bulan Jun 2019, seterusnya diikuti oleh pelancaran model Yamaha 135LC Special Edition 2019 pada bulan September 2019.
Yamaha 135LC 2021 dilengkapi enjin berkapasiti 134cc (4-lejang, sejukan cecair, 4-injap, SOHC) yang menghasilkan kuasa maksimum 12.14PS (8.93kW) @ 8,500rpm dengan tork maksimum 11.79Nm @ 5,500rpm. Enjin tersebut kemudiannya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan jenis berputar (rotary type 4-speed) yang lancar.
Bagi setiap pembelian Yamaha 135LC 2021 ini, HLYM turut menawarkan kunci cakera Yamaha bernilai RM 100.00 secara percuma. Harga jualan asas adalah sama seperti model sebelumnya iaitu RM6,868.00 untuk pilihan warna Standard dan RM 7,118.00 untuk versi Special Edition (tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan).