Salah sebuah model moped popular yang masih lagi ditawarkan di pasaran tempatan pada ketika ini ialah Yamaha 135LC 2021, yang kini telah pun sampai ke versi ketujuh atau V7. Sehingga kini walaupun model tersebut dibayangi oleh dua lagi model popular iaitu Yamaha Y15ZR dan Yamaha Y16ZR, Yamaha 135LC kekal berada di pasaran.
Namun semua itu akan berubah tidak lama lagi, apabila tanpa disangka-sangka Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) pada ketika ini didapati sedang membangunkan Yamaha 135LC 2022 generasi baharu, berdasarkan beberapa keping gambar unit ujian model tersebut yang berjaya dirakamkan baru-baru ini (terima kasih kepada pemilik gambar).
Berdasarkan gambar-gambar spyshot tersebut, dua buah unit ujian Yamaha 135LC V8 2022 kini sedang rancak menjalani ujian jalan raya di sekitar Rawang dan juga kawasan berdekatan, yang terletak tidak jauh dari kilang HLYM di Sungai Buloh, Selangor. Besar kemungkinan ianya akan dilancarkan tidak lama lagi, paling awal pada tahun depan.
Melalui pemerhatian terhadap gambar-gambar spyshot tersebut, Yamaha 135LC 2022 masih mengekalkan enjin empat lejang 135cc, yang kemudiannya dipadankan transmisi empat kelajuan. Paling menarik, sistem klac separa automatik tanpa klac tangan masih lagi dikekalkan, sangat sesuai untuk peminat yang mahukan gaya tunggangan mudah.
Bagaimanapun naik taraf paling signifikan pada enjin tersebut dan sering kali mendapat permintaan ramai, ialah ianya kini dikatakan telah dilengkapi sistem suntikan bahan api (fuel injection) yang lebih moden berbanding sistem lama karburetor. Jika benar, tahap penggunaan bahan api akan menjadi lebih cekap, lebih bersih dan lebih menjimatkan.
Selain itu, Yamaha 135LC 2022 juga didapati telah dilengkapi sistem brek cakera pada bahagian roda belakang, bersama-sama lengan ayun baharu. Paling menarik pastinya lampu depan dan lampu belakang rekaan baharu pada model tersebut, yang kini hampir sama dengan lampu depan milik Yamaha Y15ZR dan lampu belakang Yamaha Y16ZR.
Kedua-dua lampu tersebut kini dipercayai menggunakan lampu jenis LED sepenuhnya. Di bahagian dada depan, ianya juga telah direka semula, yang turut meliputi gugusan lampu pada bahagian berkenaan. Ekor belakang pula masih mengekalkan gaya rekaan sebelumnya, namun lampu pemantul cahayanya kini telah direka semula lebih tinggi.
Lebih mengujakan ialah Yamaha 135LC 2022 kini dilengkapi panel meter digital baharu LCD, besar kemungkinan ianya mirip milik model Yamaha Y15ZR. Spesifikasi lain yang mungkin telah dipertingkatkan ialah jumlah kapasiti tangki bahan apinya yang kini lebih besar, memandangkan badan belakang model berkenaan kini kelihatan lebih lebar.
Akhir sekali, rim roda baharu enam bilah yang dipasangkan pada Yamaha 135LC 2022 generasi baharu itu kelihatan begitu sporty sekali. Berkenaan harga, dijangka harganya nanti tidak akan melebihi harga asas Yamaha Y15ZR iaitu sebanyak RM 8,168.00, dan besar kemungkinan ianya akan berlegar-legar sekitar RM 7,500.00, atau lebih rendah.
Untuk makluman semua, setiap maklumat dan info yang dikongsikan di dalam artikel ini belum pasti tepat sepenuhnya. Oleh itu untuk mendapatkan maklumat yang lebih sahih, kita semua perlu menunggu sehingga model berkenaan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi. Sebarang maklumat terkini akan terus dikongsikan dari semasa ke semasa.
p/s : Sumber gambar semuanya daripada laman Facebook. Terima kasih kepada semua pemilik gambar yang sudi berkongsi gambar-gambar tersebut.