Yamaha MT-03 2022 terima warna baharu Cyan Storm di pasaran Eropah, enjin kini patuh piawaian emisi Euro 5

Model naked Yamaha MT-03 2022 di pasaran Eropah kini tampil dengan pilihan warna baharu Cyan Storm, di samping dua lagi pilihan warna menarik Icon Blue dan Midnight Black. Untuk musim 2022, model tersebut juga kini telah dilengkapi enjin baharu yang telah mematuhi piawaian emisi Euro 5 sepenuhnya, menjadikannya lebih mesra alam.

Yamaha MT-03 2022 merupakan sebuah model naked yang tampil sporty dan agresif. Ianya dikuasakan enjin dua silinder yang bersesaran 321cc (4-valves, 4-stroke, liquid-cooled, DOHC), dan kemudiannya dipadankan sistem transmisi enam kelajuan. Janaan kuasanya mencapai 42PS @ 10,750rpm, dengan tork maksimum 29.6Nm @ 9,000rpm.

Antara ciri-ciri dan spesifikasi menarik yang melengkapi Yamaha MT-03 2022 ini adalah seperti fork depan upside-down 37 mm, suspensi belakang monoshock dengan talaan pre-load dan damping, brek cakera depan 298 mm dan belakang 220 mm, tangki bahan api 14 liter, tinggi tempat duduk 780 mm yang ergonomik dan berat 168 kg (wet weight). Tayar depan dan belakangnya pula didatangkan dalam siri 110/70-R17 dan 140/70-R17.

Yamaha MT-03 2022 seterusnya dilengkapi lampu depan LED tunggal yang diapit oleh dua lampu posisi LED, lampu signal dan lampu belakang LED, dan panel meter digital LCD yang bergaya. Untuk pasaran UK, model naked tersebut ditawarkan dengan harga jualan bermula dari £ 5,400.00, bersamaan nilai RM 30,517.70 mengikut kadar semasa.