Pada tahun lepas, pasaran motosikal di negara China secara tiba-tiba telah dikejutkan dengan kemunculan model supersport Moxiao 500RR 2021, yang tampil dengan gaya rekaan mirip model Ducati Panigale. Terkini, muncul pula sebuah model terbaharu yang dikenali dengan nama Moxiao MX500 2022, yang bakal dilancarkan di pasaran China.
Sekali imbas, Moxiao MX500 ini tampil mirip bagaikan jentera naked berprestasi tinggi Ducati Streetfighter V4. Ianya dikeluarkan oleh syarikat bernama Taizhou City Senlong Motorcycle Manufacture Co., Ltd., dan dilengkapi enjin yang bersesaran 471cc dengan keluaran kuasa maksimum 33kW (44.25hp). Beratnya pula ialah 198 kg (curb weight).
Maklumat lain yang ada ialah mengenai saiz rodanya, yang dilengkapi tayar depan dan belakang masing-masing dalam siri 120/70-ZR17 dan 190/50-ZR17. Di bahagian sistem brek, ianya turut dilengkapi ABS sebagai ciri standard. Kelajuan maksimumnya mungkin mencecah sehingga 160 km/j, walaupun maklumat awal hanya tertulis 120 km/j sahaja.
Moxiao MX500 2022 seterusnya turut dipercayai dilengkapi sistem lampu LED, paparan panel meter digital, di samping fork depan jenis terbalik, suspensi belakang monoshock, sistem brek cakera depan berkembar, dan juga tangki minyak dengan kapasiti isiannya yang luas. Setakat ini tarikh sebenar pelancarannya di pasaran China belum diketahui.
Sumber : Vanhoe Rage FB