Ducati Multistrada V4 Pikes Peak 2022 tampil lebih sporty, prestasi tunggangan dan pengendalian dipertingkatkan

Dalam bulan Oktober 2021 yang lepas, Ducati telah memperkenalkan model terbaharu Ducati Multistrada V4 Pikes Peak 2022, varian terbaharu yang lebih sporty berbanding dua model sebelumnya Ducati Multistrada V4 dan V4 S 2021. Selain daripada warna yang cukup menyerlah, naik taraf teknikal juga menjadikan model tersebut berbeza.

Naik taraf yang diterima oleh Multistrada V4 Pikes Peak melibatkan aspek tunggangan dan pengendalian yang lebih berprestasi, antaranya disumbangkan oleh penggunaan rim roda depan 17 inci dan lengan ayun sebelah, rim roda (Marchesini forged aluminum rims) yang kini lebih ringan sehingga 2.7 kg, dan sistem suspensi Öhlins Smart EC 2.0. Sistem suspensi itu turut digunakan oleh model Panigale V4 S dan Streetfighter V4 S.

Casis aluminium monocoquenya telah dikemaskini semula dengan kepala stereng kini berada pada kecondongan 25.75° berbanding 24.5° pada model Multistrada V4, selain geometri jejak dan jarak roda model tersebut turut ditala semula. Posisi tunggangan kini lebih ergonomik, melibatkan pemijak kaki yang lebih tinggi dan dianjak ke belakang, dan handlebar yang lebih rendah, lebih sempit dan mengandungi palang melengkung.

Ducati Multistrada V4 Pikes Peak dikuasakan enjin V4 Granturismo, dengan hamburan kuasanya mencecah 170hp dengan tork maksimum 125Nm @ 8,750rpm. Enjin tersebut telah dioptimumkan sejajar dengan perwatakan motosikal, dan menampilkan teknologi canggih Race Riding Mode, yang pertama kali diperkenalkan untuk model Multistrada.

Pakej elektronik yang terkini dan sofistikated yang dibekalkan sebagai ciri standardnya, adalah termasuk teknologi radar pada bahagian depan dan belakang, yang mana ianya turut menawarkan kefungsian Adaptive Cruise Control (ACC) dan Blind Spot Detection (BSD). Panel instrumen 6.5 inci TFT juga merupakan ciri standard, dengan ciri paparan peta navigasi daripada telefon pintar hasil sambungan sistem canggih Ducati Connect.

Sistem elektronik pada Multistrada V4 Pikes Peak juga bertujuan untuk mendapatkan pengalaman tunggangan yang lebih sporty. Dengan pengenalan Race Riding Mode, sistem Ducati Wheelie Control pada model berkenaan kini tampil dengan strategi terkini yang menawarkan tindak balas yang lebih baik dan kawalan lebih tepat. ABS Cornering juga ditala semula untuk prestasi yang lebih selamat dalam semua situasi tunggangan.