Benelli VZ125i Special Edition (N1) 2021 tampil lebih menarik dan segar dengan warna dan grafik terbaharu

MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. pada hari ini secara rasminya memperkenalkan varian terkini Benelli VZ125i Special Edition (N1) 2021 untuk pasaran tempatan. Model skuter tersebut kini tampil lebih menarik dan segar dengan pilihan warna dan grafik terbaharu, dalam tiga pilihan skim warna kesemuanya iaitu Yellow, Light Blue dan juga Red.

Harga jualan asas yang ditetapkan adalah sebanyak RM 5,838.00, tidak termasuk kos pendaftaran, insuran dan cukai jalan. Ianya dikuasakan enjin bersesaran 124cc, empat lejang, satu silinder dan SOHC, dengan padanan sistem transmisi CVT. Keluaran kuasa maksimumnya ialah 8.4hp @ 7,500rpm, dengan tork maksimum 9.2Nm @ 6,000rpm.

Benelli VZ125i Special Edition (N1) 2021 dilengkapi lampu depan LED, lengkap dengan lampu DRL yang terang. Panel meter digitalnya memaparkan speedometer, tachometer, serta paras bahan api. Kesemua maklumat mudah dilihat, walau ketika di dalam gelap. Sekilas pandang sahaja, penunggang boleh melihat setiap maklumat yang diperlukan.

Suspensi depan jenis teleskopik dan penyerak hentak belakang tunggal Kayaba (KYB) memastikan tahap tunggangan skuter itu kekal selesa, stabil dan mudah dikendalikan. Ianya juga dilengkapi brek cakera depan untuk prestasi pemberhentian yang lebih baik. Tahap keselamatan juga dipertingkatkan dengan sistem kunci magnetik anti-kecurian.

Benelli VZ125i Special Edition (N1) merupakan sebuah model skuter yang sesuai untuk kegunaan harian. Ianya dilengkapi tangki bahan api dengan kapasiti penuh 4.9 liter, port pengecas USB di bawah tempat duduk, cangkuk penyangkut barang di posisi belakang fairing depan, dan terdapat ruang kecil di bahagian kokpit untuk barangan bersaiz kecil.

Menurut MForce, Benelli VZ125i Special Edition (N1) 2021 kini telah berada di pasaran tempatan, dan pembeli boleh mendapatkannya di semua pengedar sah Benelli. Tempoh jaminan pengeluar yang diberikan adalah selama dua tahun, atau sehingga 20,000 km. Di samping itu, para pelanggan kini boleh mendapatkan alat ganti melalui servis online.