Ducati Multistrada V4 2021 diperkenalkan, dilengkapi enjin V4 Granturismo dan sistem radar yang canggih

Pada tarikh 04hb. November 2020, Ducati dengan rasminya memperkenalkan jentera pengembaraan terbaharu Ducati Multistrada V4 2021. Kelengkapan utama pada model tersebut sudah semestinya enjin V4 Granturismo baharu yang berkuasa dan sistem radar di bahagian depan dan belakang, pertama di dunia untuk sesebuah motosikal.

Ducati Multisrada V4 2021 dikatakan mampu membawa pemiliknya ke mana sahaja tanpa sebarang masalah, sama ada di jalanan berturap mahu pun di laluan off-road yang serba mencabar. Ianya bukan sahaja berperwatakan versatil, malah menawarkan keselesaan, ciri-ciri keselamatan terunggul di samping penampilannya yang sporty.

Enjin V4 Granturismo mempunyai berat hanya 66.7 kg, ringan dan kompak, bersesaran 1,158cc dan menghasilkan kuasa maksimum 170hp @ 10,500rpm dengan tork puncak 125Nm @ 8,750rpm. Selang masa penukaran minyak enjinnya ialah setiap 15,000 km, sementara servis injap (valve clearance check) boleh dilakukan pada setiap 60,000 km. Menurut Ducati, tiada model motosikal lain yang mencapai tahap itu setakat ini.

Pakej elektronik yang melengkapi Multistrada V4 merangkumi aspek keselamatan, keselesaan, prestasi dan ketersambungan (connectivity). Sistem IMU menguruskan operasi sistem ABS Cornering, Ducati Wheelie Control (DWC), Ducati Traction Control (DTC), dan untuk varian Multistrada V4 S ianya termasuklah Cornering Lights (DCL) dan Vehicle Hold Control (VHC).

Ducati Multistrada V4 2021 didatangkan dalam tiga varian iaitu Multistrada V4 yang merupakan model standard dan tampil dengan warna tunggal merah, manakala varian pertengahan Multistrada V4 S mempunyai dua pilihan warna, “Aviator Grey” di samping warna merah. Varian teratas Multistrada V4 S Sport menawarkan livery tersendiri dan pakej standard Performance dengan ekzos Akrapovič dan fender depan karbon.

Ducati Multistrada V4 dilengkapi dengan sistem radar yang canggih di bahagian depan dan belakangnya (tersedia sebagai pilihan untuk V4, standard untuk V4 S dan V4 S Sport), membolehkan jentera tersebut menggunakan sistem Adaptive Cruise Control (ACC) dan Blind Spot Detection (BSD), menjadikan tunggangannya lebih selamat.

Galeri : Ducati Multistrada V4 2021

Galeri : Ducati Multistrada V4 S 2021

Galeri : Ducati Multistrada V4 S Sport 2021

(Visited 46 times, 1 visits today)