Adakah pengeluaran Yamaha Y15ZR V2 2021 bakal dihentikan sepenuhnya pada tahun depan?

Baru-baru ini dunia permotoran tempatan telah dikejutkan dengan kemunculan gambar-gambar spyshot sebuah model moped terbaharu, yang setakat ini dijangkakan sebagai model Yamaha 135LC V8 2022 versi facelift terbaharu. Jika ianya menjadi kenyataan, model tersebut besar kemungkinan akan dilancarkan secara rasmi pada tahun depan.

Apa yang mengejutkan ialah Yamaha 135LC V8 didapati menggunakan lampu hadapan atau kepala mirip model moped popular Yamaha Y15ZR V2. Persoalannya ialah adakah jurutera Yamaha telah ketandusan idea, atau adakah ianya sebagai petanda bahawa pengeluaran Yamaha Y15ZR V2 bakal dihentikan sepenuhnya pada tahun depan?

Adalah agak kurang masuk akal untuk Hong Leong Yamaha Motor (HLYM) untuk terus menawarkan dua model dengan penampilan hadapan yang hampir sama, sehinggakan ianya sukar dibezakan daripada pandangan hadapan. Namun perkara tersebut tidaklah mustahil, mungkin HLYM mempunyai beberapa alasan tersendiri yang tentunya wajar.

Namun juga tidak mustahil sekiranya HLYM telah pun membuat keputusan awal untuk menamatkan pengeluaran Yamaha Y15ZR, bagi memberi laluan yang lebih luas untuk model terbaharu Yamaha Y16ZR. Oleh itu tidak ada salahnya jika lampu depan Yamaha Y15ZR V2 yang begitu sporty itu dikitar semula untuk model Yamaha 135LC V8 2022.

Setakat ini tidak dapat dipastikan berapakah statistik jualan Yamaha Y15ZR V2 selepas pelancaran rasmi Yamaha Y16ZR. Jika jualannya pada ketika ini semakin menurun dan semakin ramai peminat beralih arah kepada model Yamaha Y16ZR, ini bermakna HLYM tidak mempunyai pilihan lain selain menamatkan pengeluaran model popular tersebut.

Namun tentunya ramai peminat yang masih mengharapkan pengeluaran model tersebut diteruskan, kerana Yamaha Y15ZR V2 masih lagi mempunyai beberapa kelebihan yang tersendiri, antaranya ialah harga jualannya yang lebih rendah berbanding harga jualan Yamaha Y16ZR, dan reka bentuknya sehingga kini masih kekal sporty dan evergreen.

Selain itu ada juga pendapat yang mengatakan bahawa HLYM mahu meningkatkan lagi prestasi jualan Yamaha Y16ZR, dengan cara menamatkan pengeluaran Yamaha Y15ZR V2. Dengan cara itu, pembeli tidak lagi mempunyai pilihan, melainkan terpaksa membeli Yamaha Y16ZR. Pada pandangan anda, adakah anda bersetuju dengan pendapat itu?

Galeri : Yamaha Y15ZR V2 2021

Galeri : Spyshot Yamaha 135LC V8 2022