Yamaha Vixion 2022 terima kemaskini warna dan jalur grafik baharu di pasaran Indonesia

Di pasaran Malaysia suatu ketika dahulu, Yamaha pernah menawarkan model naked Yamaha FZ150i, yang mula diperkenalkan sejak tahun 2008 dan berakhir pada tahun 2018. Model berkenaan mempunyai peminatnya yang tersendiri, namun populariti yang diraihnya pada ketika itu ternyata belum mencapai mencapai tahap yang diharapkan.

Oleh itu legasi Yamaha FZ150i tidak lagi diteruskan di pasaran Malaysia sehingga kini, tidak seperti di pasaran Indonesia yang masih meriah dengan penerusnya iaitu Yamaha Vixion. Terkini Yamaha Vixion 2022 di pasaran Indonesia baru saja menerima kemaskini warna dan jalur grafik terbaharu, iaitu Matte Blue, Metallic Black dan juga Metallic Red.

Di bahagian teknikal, Yamaha Vixion 2022 dilengkapi enjin empat lejang dalam sesaran 149.8cc (Single Cylinder, Liquid Cooled 4-stroke, SOHC) dengan kelengkapan teknologi Forged Piston & Diasil Cylinder, yang kemudiannya dipadankan dengan transmisi lima kelajuan dan sistem Assist & Slipper Clutch. Jumlah keluaran kuasa yang dihasilkannya mencapai paras 16.4hp @ 8,500rpm, dengan tork maksimum 14.5Nm @ 7,500 rpm.

Spesifikasi seterusnya pada model naked berkenaan adalah seperti tangki bahan api 12 liter, kerangka Deltabox yang kuat dan kukuh, fork depan teleskopik, suspensi belakang monocross, sistem brek cakera depan dan belakang, sporty under cowl, pass beam & engine cut-off, hazard lamp, panel meter digital dan lampu depan dan belakang LED.

Yamaha Vixion 2022 mempunyai ketinggian tempat duduk 795 mm, ukuran roda depan 90/80-R17, ukuran roda belakang 120/70-R17, dan berat isi hanya 132 kg. Harga yang ditawarkan adalah sebanyak Rp 28,195,000, bersamaan RM 8,297.04. Pastinya sangat menarik jika model naked ini membuat kemunculan semula di pasaran negara kita.