Yamaha Motor Europe baru-baru ini dengan rasminya memperkenalkan model Yamaha XSR900 2022, dengan penampilan serba baharu yang lebih sporty dan juga menawan. Menurut Yamaha, model Sport Heritage itu kini menggunakan casis Deltabox aluminium serba baharu, lengan ayun baharu, tangki bahan api baharu dan juga subframe baharu.
Semua perubahan baharu yang diterima oleh model berkenaan kini telah menyumbang kepada aspek kawalan dan pengendalian yang lebih baik, sama ada ketika mengambil selekoh atau ketika memecut di jalan yang lurus. Prestasi enjinnya pula telah menerima peningkatan signifikan, apabila ianya kini dikuasakan enjin dalam sesaran lebih besar.
Berbanding model generasi sebelumnya yang dilengkapi enjin 845cc, Yamaha XSR900 2022 kini dilengkapi enjin CP3 baharu bersesaran 889cc (4-valves, 3-Cylinder, EURO5, 4-stroke, Liquid-cooled, DOHC), dengan kuasa maksimum 119.0PS @ 10,000rpm dan tork maksimum 93Nm @ 7,000rpm. Enjin itu dipadankan dengan sistem transmisi enam kelajuan, Assist & Slipper Clutch, Quick Shift System (QSS) dan juga Cruise Control.
Rangkaian sistem elektronik yang melengkapi Yamaha XSR900 2022 termasuklah unit 6-axis Inertial Measurement Unit (IMU), yang mengawal Lean Sensitive Traction Control System, Slide Control System (SCS) dan front Wheel Lift Control System (LIF), Brake Control, D-Mode dengan empat pilihan mod enjin, dan sistem ride by wire Yamaha Chip Controlled Throttle (YCC-T) dengan sistem Acceleration Position Sensor Grip (APSG).
Yamaha XSR900 2022 seterusnya dilengkapi tangki bahan api 14 liter, fork depan USD KYB boleh laras sepenuhnya, suspensi belakang link-type KYB yang boleh dilaraskan, brek cakera depan berkembar 298 mm dengan Brembo Master Cylinder, ABS, paparan panel meter TFT 3.5 inci berwarna sepenuhnya, dan semua sistem lampu adalah LED.
Di bahagian roda, Yamaha XSR900 2022 menggunakan rim aluminium baharu, kini 700 gram lebih ringan. Tayar depan dan belakangnya pula tampil dalam siri 120/70-R17 dan 180/55-R17. Ketinggian tempat duduk berada pada paras 810 mm, jarak kelegaan bumi minimum 140 mm, jarak roda 1,495 mm, dan beratnya mencapai 193 kg (wet weight).
Yamaha XSR900 2022 bakal berada di pasaran Eropah mulai bulan Februari 2022 akan datang, dalam dua skim pilihan warna menarik Legend Blue dan Midnight Black. Untuk peminat model bergaya retro ini di pasaran Malaysia, setakat ini belum ada berita sama ada ianya akan turut dilancarkan oleh Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM).