Yamaha YZF-R7 2022 diperkenalkan di pasaran USA, harga jualan bermula dari $8,999.00

Pada pertengahan Mei 2021 yang lepas, selain diperkenalkan untuk pasaran Eropah, model terbaharu Yamaha YZF-R7 2022 turut diperkenalkan di pasaran USA. Tampil dalam dua pilihan warna Team Yamaha Blue dan Performance Black, harganya bermula dari $8,999.00 (RM 37,156.87), dan akan berada di pasaran USA mulai bulan Jun 2021.

Yamaha YZF-R7 2022 merupakan tawaran terbaharu Yamaha Motor USA untuk semua peminat motosikal mereka di sana, pada harga yang lebih rendah berbanding jentera Yamaha YZF-R6 2020/2021. Sebagai perbandingan, harga Yamaha YZF-R6 ditetapkan bermula dari $12,199.00, bersamaan RM 50,369.67 mengikut kadar tukaran semasa.

Bagaimanapun, sistem penjana kuasa Yamaha YZF-R7 tidak mampu menandingi enjin Yamaha YZR-R6 yang lebih berkuasa. Ini kerana enjin Yamaha YZF-R6 hadir dalam konfigurasi empat silinder, manakala enjin Yamaha YZF-R7 merupakan enjin CP2 dua silinder yang sama dibawakan daripada model naked Yamaha MT-07 2021 terbaharu.

Dari segi rekaan dan teknologi, Yamaha YZF-R7 dan Yamaha YZF-R6 masing-masing mempunyai kelebihan yang tersendiri. Untuk pasaran Malaysia, Yamaha YZF-R6 tidak pernah ditawarkan oleh HLYM, mungkin kerana harganya yang tinggi. Adakah Yamaha YZF-R7 akan dilancarkan di pasaran Malaysia selepas ini? Sama-sama kita nantikan.