Selepas pelancaran Aprilia RS660 2021 pada penghujung bulan Mac 2021 yang lepas untuk pasaran Malaysia, kini tiba pula giliran pelancaran model Aprilia Tuono 660 2021. Pengedarnya Didi Resources Sdn. Bhd. menawarkan model tersebut pada harga asas sebanyak RM 77,900.00 (tidak termasuk pendaftaran, insuran dan cukai jalan).
Untuk pasaran Malaysia bagaimanapun, buat masa ini Aprilia Tuono 660 hanya tersedia dalam pilihan warna tunggal Concept Black. Dua lagi pilihan warna yang mungkin akan diperkenalkan pada masa hadapan ialah Iridium Grey dan Acid Gold. Berbanding model sport Aprilia RS660, Aprilia Tuono 660 merupakan sebuah model dalam gaya naked.
Sebagai sebuah model naked, Aprilia Tuono 660 menawarkan pengalaman tunggangan yang lincah dan lebih menyeronokkan. Model tersebut didatangkan bersama-sama ciri tunggangan dengan posisi lebih tinggi dan gagah, serta handlebar yang lebih besar dan lebar berbanding model Aprilia RS660 yang hadir sebagai sebuah jentera litar sporty.
Sistem penjana kuasa yang melengkapi Aprilia Tuono 660 adalah sama seperti mana yang dimiliki oleh Aprilia RS660. Namun jumlah kuasanya berada pada paras 95hp @ 10,500rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 8,500rpm, dan memberikan nisbah kuasa kepada berat yang luar biasa untuk jentera dengan berat 183 kg (kerb weight) itu.
Enjin yang bersesaran 659cc (parallel twin-cylinder, 4-stroke, liquid cooled, DOHC, four valves per cylinder) tersebut seterusnya dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, lengkap dengan sistem Aprilia Quick Shift (AQS) up and down yang canggih. Pacuan akhir (final drive) pada Tuono 660 seterusnya direka lebih pendek berbanding RS 660.
Beralih ke bahagian elektronik, Aprilia Tuono 660 dibekalkan sistem pendikit elektronik Ride-by-Wire bersama-sama six-axis inertial platform yang menguruskan pakej APRC yang merangkumi teknologi seperti ATC (multi-level traction control), AWC (anti wheelie control), AEB (engine braking), AEM (engine maps) dan ACC (cruise control).
Untuk memudahkan kawalan terhadap kesemua sistem elektronik berkenaan melalui paparan instrumen digital TFT berwarna, Aprilia telah menyediakan lima tahap Riding Modes (tiga untuk tunggangan jalanan dan dua untuk litar), yang mana penunggangnya hanya perlu membuat pilihan berdasarkan gaya tunggangan terbaik yang dimahukan.
Aprilia Tuono 660 juga didatangkan sistem suspensi Kayaba talaan khas, lampu depan LED bergaya triple dengan lampu DRL, sistem brek ABS daripada Brembo dengan sepasang cakera depan 320mm dan cakera belakang tunggal 220 mm, serta turut dilengkapi teknologi Multimap ABS Cornering untuk tahap keselamatan maksimum.