Yamaha MT-07 2021 tampil dengan kemaskini wajah baharu dan enjin bertaraf Euro 5

Yamaha Motor Europe baru-baru ini memperkenalkan jentera naked Yamaha MT-07 2021, yang kini tampil berwajah baharu dan enjin patuh piawaian Euro 5. Lampu depan model berkenaan kini telah berubah sepenuhnya, merupakan lampu LED jenis projektor yang terang dan diapit oleh sepasang lampu posisi LED di sebelah kiri dan kanannya.

Perubahan lain untuk Yamaha MT-07 2021 antaranya turut melibatkan rekaan baharu tangki bahan api yang mempunyai isian maksimum 14 liter dan kehadiran handlebar baharu (new aluminium tapered handlebars) yang 32 mm lebih lebar untuk kedudukan tunggangan yang lebih baik dan pergerakan lebih mudah pada kelajuan perlahan.

Juga baharu ialah panel instrumen LCD digital yang kompak dan ringan dengan ciri ‘spot colour’, dan mempunyai paparan yang lebih besar dan jelas untuk informasi jam, gear, meter perjalanan dan takometer. Suis baharu pada handlebar pula membolehkan penunggang untuk mengendalikan meter dengan lebih mudah dan cekap.

Selain itu bersama-sama lampu depan LED baharu ialah lampu signal LED baharu yang terang di bahagian depan dan belakang, tampil lebih kompak dan ringan. Ciri keselamatan dipertingkatkan dengan kehadiran sepasang brek cakera depan dengan ukuran lebih besar 298 mm, di samping brek cakera belakang tunggal 245 mm.

Prestasi tunggangan dan pengendalian Yamaha MT-07 2021 juga kini lebih cemerlang melalui penggunaan tayar baharu Michelin Road 5 yang didatangkan dalam siri 120/70-R17 untuk bahagian depan dan 180/55-R17 untuk bahagian belakang. Tayar tersebut menawarkan prestasi dan kualiti cengkaman cemerlang pada permukaan basah.

Yamaha MT-07 2021 masih mengekalkan enjin CP2 bersesaran 689cc, namun telah dikemaskini semula di bahagian pengambilan udara dan sistem suntikan bahan api, termasuklah dilengkapi sistem ekzos ‘2-into-1’ dan ECU baharu. Perubahan tersebut menawarkan tindak balas enjin lebih mendatar dan terus mengekalkan prestasinya.

Enjin empat lejang dua silinder bertaraf Euro 5 itu dipadankan dengan transmisi enam kelajuan, menghasilkan kuasa maksimum 73.4PS @ 9,000rpm dengan tork maksimum 67Nm @ 6,500rpm. Enjin 2021 berkenaan turut menampilkan penutup enjin berwarna Crystal Graphite baharu, di samping paip ekzos dengan warna baharu Silver.

Untuk pasaran Eropah, Yamaha MT-07 2021 akan boleh didapati mulai bulan Januari 2021. Model tersebut didatangkan dalam tiga skim pilihan warna dan rekaan grafik yang menarik iaitu Storm Fluo, Icon Blue dan Tech Black. Untuk penampilan yang berbeza, Yamaha Motor Europe juga menawarkan pelbagai pilihan aksesori asli yang menarik.

Yamaha MT-07 2021 Technical Highlights :

  • Next generation body design with pure MT family DNA
  • Winglet-style air intakes create distinctive MT-07 style
  • New LED projector headlight with signature Y-shape icon
  • 690cc crossplane technology CP2 engine
  • EU5-compliant
  • 270-degree crank for linear torque delivery
  • Maximum torque of 67.0Nm/6.8kg-m produced at 6,500rpm
  • New 298mm dual front wave-type discs
  • New wider aluminium tapered handlebars
  • More comfortable and assertive riding position
  • Inverted LCD spot colour instruments with remote control
  • New LED turn signals
  • Latest generation Michelin Road 5 tyres
  • New colours and graphics
  • Compact tubular frame with 805mm seat height