Kemaskini pada tarikh 07hb. Mei 2021 : Yamaha Motor Europe telah menyiarkan video teaser pertama sebuah model baharu dalam segmen R/World, seperti mana yang anda boleh lihat dalam paparan di bawah. Menurut sumber, model yang bakal dilancarkan itu ialah Yamaha YZF-R7 2022 serba baharu yang bakal dikuasakan enjin CP2 689cc.
Yamaha YZF-R7 merupakan sebuah model ikonik yang diperkenalkan pada tahun 1999 untuk bertanding dalam perlumbaan Superbike World Championship (SBK) dan Suzuka 8 Hours. Sebanyak 500 unit model holomogasi untuk YZF-R7 telah dikeluarkan ketika itu, menjadikannya antara jentera berteraskan perlumbaan yang eksklusif dan eksotik.

Model tersebut mungkin telah dilupakan dan ramai generasi baharu yang tidak sedar akan kemunculannya suatu ketika dahulu. Bagaimanapun berita baiknya ialah Yamaha dikatakan bakal melancarkan semula model terbaharu Yamaha YZF-R7, yang disebut-sebut bakal dilancarkan sebagai model tahun 2022 dalam tempoh beberapa bulan lagi.
Setakat ini berdasarkan laporan awal daripada pihak media antarabangsa, Yamaha YZF-R7 2022 akan menggunakan enjin CP2 bersesaran 689cc (2-cylinder, 4-stroke, Liquid-cooled, DOHC, 4-valves), sama seperti yang digunakan oleh model terbaharu Yamaha MT-07 2021. Penggunaan enjin tersebut mungkin agak mengecewakan.
Ini kerana Yamaha YZF-R7 1999 dikuasakan enjin 749cc empat silinder sebaris yang sangat bersesuaian dengan perwatakannya sebagai sebuah model perlumbaan khusus. Kelemahannya pula ialah harganya yang mahal, jadi ada kemungkinan pihak Yamaha mahu model terbaharu Yamaha YZF-R7 2022 ini ditawarkan pada harga berpatutan.
Seperti mana kita semua sedia maklum, jentera sportbike full fairing kelas pertengahan tidak mampu menarik minat ramai pembeli jika ianya ditawarkan pada harga yang tinggi. Contoh paling tepat ialah nasib yang menimpa model Yamaha YZF-R6 yang kini telah dihentikan pengeluarannya mulai musim 2021, kecuali untuk versi litar sahaja.
Jika benar Yamaha YZF-R7 2022 akan berada di pasaran mulai tahun depan, ianya dijangka akan memberikan saingan kepada model terbaharu Aprilia RS660 yang tampil sporty dan lengkap dengan pelbagai teknologi canggih. Atau mungkin juga Yamaha YZF-R7 2022 ini hanyalah versi full fairing untuk model naked Yamaha MT-07 2021.
Galeri : Yamaha YZF-R7 1999

















