Ucapan selamat tinggal daripada Yamaha YZF-R6 untuk pasaran Eropah dan USA

Baru-baru ini blog Arena Motosikal telah menyiarkan artikel mengenai model Yamaha YZF-R6 2020 untuk pasaran USA. Tanpa disangka-sangka ianya merupakan artikel terakhir memandangkan pasaran USA mulai musim 2021 tidak lagi akan menawarkan model berkenaan. Lebih dari itu pasaran Eropah juga menerima nasib yang sama.

Perkara mengejutkan itu telah diumumkan oleh Yamaha Motor USA dan Yamaha Motor Europe melalui siaran akhbar rasmi bertarikh 17hb. November 2020. Untuk pasaran Eropah bagaimanapun versi litar masih akan ditawarkan mulai Januari 2021, melalui model versi perlumbaan R6 RACE, termasuk dengan kit perlumbaan R6 GYTR Kit.

Antara sebab kenapa Yamaha tidak lagi akan menawarkan YZF-R6 versi jalanan di pasaran Eropah ialah kerana kos pengubahsuaian enjinnya yang tinggi dan tidak lagi berdaya saing demi memenuhi piawaian emisi Euro 5 yang ketat. Tambahan pula jumlah jualan model tersebut di rantau Eropah semakin menurun dari tahun ke tahun.

Untuk pasaran USA pula walaupun ianya tidak menerima kesan daripada piawaian Euro 5 dan jumlah jualan model tersebut juga masih lagi baik, namun untuk Yamaha menumpukan kepada hanya satu pasaran sahaja tidak lagi berbaloi. Pasaran Australia dan pasaran lain yang turut menjualnya, juga dijangka akan menerima kesan serupa.

Yamaha YZF-R6 generasi baharu tidak ditawarkan di pasaran Malaysia oleh pengedar rasmi Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM), namun terdapat versi import yang boleh dimiliki pada harga sekitar RM 100k. Untuk peminat sejati model supersport kelas pertengahan ini, peluang untuk anda memilikinya sebagai koleksi masih ada ketika ini.

(Visited 46 times, 1 visits today)