SYM Jet X 200 cc 2021 dilancarkan di pasaran Mauritius, dilengkapi enjin 168.9cc dengan sistem karburetor

Seperti mana yang kita ketahui selama ini, model skuter terbaharu SYM Jet X 2021 didatangkan dalam dua varian iaitu 125cc dan 150cc. Bagaimanapun untuk pasaran Mauritius, model tersebut didapati telah ditawarkan dalam varian dengan enjin yang lebih besar bersesaran 168.9cc, dan dikenali dengan nama SYM Jet X 200 cc.

Nama SYM Jet X 200 cc itu sendiri kelihatan agak mengelirukan, namun yang paling pelik ialah enjin 168.9cc itu tidak dilengkapi sistem suntikan bahan api elektronik seperti mana model SYM Jet X 125 yang turut ditawarkan di negara berkenaan. Sebaliknya ianya dilengkapi sistem penyampaian bahan api konvensional iaitu jenis karburetor.

Jumlah kuasa yang dihasilkan oleh enjin tersebut mencapai angka 11.8hp dengan tork 12.2Nm. Tidak pasti sama ada memang benar SYM Jet X 2021 versi paling baharu ini dilengkapi enjin 168.9cc dengan sistem karburetor, atau mungkin juga ianya eksklusif untuk pasaran Mauritius sahaja. Berkenaan harga, juga terdapat perbezaan ketara.

SYM Jet X 125 cc 2021 di pasaran Mauritius ditawarkan pada harga RS 89,118 yang bersamaan RM 9,126.11 mengikut kadar semasa. Bagi model SYM Jet X 200 cc 2021 pula, oleh kerana ianya dilengkapi sistem karburetor, harganya ditawarkan lebih rendah iaitu Rs. 83,943, bersamaan RM 8,596.16. Atau mungkinkah berlakunya kesilapan?