SYM Star SR 125 EFI 2021 dengan klac tangan diperkenalkan di pasaran Vietnam

SYM baru-baru ini pada awal bulan Januari 2020, secara rasminya memperkenalkan model SYM Star SR 125 EFI 2021 (klac tangan) untuk pasaran Vietnam. Untuk musim 2021 ini, model tersebut masih mengekalkan spesifikasi yang sama seperti mana model tahun 2020, namun ianya kini didatangkan skim warna terbaharu yang lebih sporty.

Kedua-dua skim warna baharu yang diperkenalkan itu diberi nama Dark Gray dan Black Red. Bagi warna Dark Gray, ianya kelihatan lebih menarik dan moden dengan sentuhan jalur berwarna biru. SYM Star SR 125 EFI untuk pasaran Vietnam ini merupakan model yang sama ditawarkan di pasaran Malaysia, dikenali sebagai SYM Sport Rider 125i.

Namun untuk pasaran Vietnam, model yang ditawarkan adalah lebih canggih dan lebih berprestasi, apabila dilengkapi dengan klac tangan, sistem brek cakera belakang dan tayar belakang dengan saiz yang lebih lebar. Penampilan keseluruhan untuk model di pasaran Vietnam juga kelihatan lebih kemas berbanding model di pasaran Malaysia.

SYM Star SR 125 EFI 2021 di pasaran Vietnam dikuasakan enjin bersesaran 123cc (empat lejang, sejukan udara, SOHC) dengan teknologi sistem suntikan bahan api EFI, yang kemudiannya dipadankan dengan kotak gear empat kelajuan. Kuasa maksimum yang dihasilkan mencapai 8.5PS @ 8,000rpm dengan tork 0.88 kg.mf @ 5,500rpm.

Sistem suspensi untuk model berkenaan merupakan gabungan di antara fork depan jenis teleskopik dan penyerap kejutan belakang jenis berkembar. Sistem brek cakera di bahagian roda depan dan belakang melengkapkan ciri-ciri keselamatannya, sementara kedua-dua tayar depan dan belakang hadir dalam ukuran 70/90-17 dan 120/90-17.

Spesifikasi dan ciri-ciri lain yang melengkapi SYM Star SR 125 EFI 2021 ini antaranya seperti tangki bahan api 3.6 liter, sistem kunci anti kecurian, rekaan lampu signal depan dengan lampu LED yang menawan, meter kelajuan yang moden dengan paparan LCD, adanya kemudahan butang Seat Open dan ruang di bawah tempat duduk yang luas.

Untuk pasaran Vietnam, SYM Star SR 125 EFI 2021 ditawarkan pada harga sebanyak 27,290,000 VND, bersamaan RM 4,782.08 sahaja. Selain itu pasaran Vietnam turut menawarkan model SYM Star SR 170 yang dilengkapi enjin dalam sesaran lebih kecil 174.5cc, manakala SYM VF3i 185 Pro mempunyai enjin 183cc yang lebih berkuasa.