Jika di pasaran Malaysia terdapat model SYM VF3i 185, di pasaran Vietnam pula terdapat model SYM Star SR 170. Perbezaan di antara kedua-duanya melibatkan kapasiti enjin, di mana SYM Star SR 170 dilengkapi enjin lebih kecil 174.5cc, manakala SYM VF3i 185 mempunyai enjin bersesaran 183cc yang lebih berkuasa.
Bagaimanapun SYM Star SR 170 mempunyai kelebihan di bahagian sistem brek, apabila ianya dilengkapi sistem brek jenis ABS. Sistem brek depan itu hadir dengan cakera 260mm, manakala sistem brek belakang tampil dengan cakera 200mm. Sistem brek yang dilengkapi ABS diakui menawarkan ciri keselamatan yang lebih baik.
SYM Star SR 170 di pasaran Vietnam menawarkan angka prestasi 15hp (11.2kw) @ 8,500rpm dengan tork 13.6Nm @ 7,500rpm. Enjin yang menjana prestasi tersebut kemudiannya dipadankan kotak gear enam kelajuan. Tangki bahan apinya mampu mengisi petrol 6.5 liter maksimum. Berat kering SYM Star SR 170 ialah 130 kg.
SYM Star SR 170 dilengkapi lampu posisi depan LED, termasuklah lampu signal dan lampu belakang juga LED. Rim aloi aluminium yang melengkapinya didatangkan tayar depan 90/80-17 bersama-sama tayar belakang 120/70-17. Dua pilihan warna yang disediakan ialah gabungan hitam merah dan hitam biru yang menarik.
Untuk pasaran Vietnam, SYM Star SR 170 ABS 2019 yang dilancarkan dalam bulan Disember 2018 ini ditawarkan pada harga 49,900,000 VND, bersamaan RM 9,077.11 mengikut kadar tukaran semasa. Diharapkan selepas ini model SYM VF3i 185 di pasaran Malaysia akan turut dilengkapi sistem brek dengan ciri ABS.