Adakah Yamaha RX-Z akan kembali ke pasaran Malaysia?

Sejak beberapa tahun yang lepas sehinggalah baru-baru ini, seringkali timbul persoalan yang serupa iaitu adakah Yamaha RX-Z akan kembali ke pasaran Malaysia? Jawapan yang paling mudah setakat ini ialah tiada sebarang maklumat atau petunjuk daripada pihak Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd. (HLYM) mengenai persoalan tersebut.

Pihak HLYM sendiri sebenarnya sedar dan tahu bahawa Yamaha RX-Z sehingga kini masih mendapat permintaan ramai daripada peminatnya. Ini dibuktikan dengan harga jualan model tersebut di pasaran terpakai yang masih lagi tinggi, adakalanya mencapai paras yang tidak munasabah. Namun HLYM sendiri tidak lagi mampu berbuat apa-apa.

Ini kerana tamatnya pengeluaran Yamaha RX-Z pada tahun 2011 yang lalu adalah disebabkan oleh undang-undang di negara kita yang tidak lagi membenarkan penjualan model-model motosikal dengan enjin dua lejang. Alasan yang diberikan selari dengan protokol antarabangsa yang telah menetapkan piawaian emisi yang kini lebih ketat.

Malah bukan hanya di pasaran Malaysia, sebaliknya turut melibatkan negara-negara lain di seluruh dunia. Enjin motosikal yang lebih bersih ialah enjin empat lejang, yang sehingga kini perlu mematuhi piawaian tertinggi Euro 5. Sehinggakan pada suatu tahap, enjin empat lejang juga mungkin akan pupus dan digantikan dengan kuasa elektrik.

Di pasaran Malaysia selepas pengeluaran Yamaha RX-Z ditamatkan, terdapat dua lagi model motosikal dua lejang yang masih lagi meneruskan jualannya selepas itu iaitu Yamaha 125ZR dan Modenas Dinamik. Namun pengeluaran Yamaha 125ZR telah dihentikan pada tahun 2018, dan kemudiannya diikuti oleh model Modenas Dinamik.

Jadi harapan untuk melihat Yamaha RX-Z kembali semula ke pasaran tempatan boleh dikatakan mustahil. Tiada sebab untuk pihak HLYM kembali melangkah ke belakang, sedangkan mereka kini mempunyai barisan pelbagai model motosikal yang lebih moden dan canggih, serta mendapat pemintaan yang cukup tinggi di pasaran tempatan.

Melangkah ke tahun 2020 dan kini tahun 2021, ianya merupakan era yang lebih moden dan canggih. Ianya juga era di mana tahap kesedaran manusia terhadap pencemaran udara semakin mendapat perhatian sama ada di peringkat tempatan atau global. Enjin dua lejang kini merupakan kenangan silam yang tidak mungkin akan muncul kembali.

Mungkin masih ada harapan untuk melihat model motosikal dua lejang dikeluarkan kembali, seperti mana yang dilakukan oleh Langen Motorcycles dengan model keluaran mereka yang bernama Langen Two Stroke yang patuh piawaian emisi Euro 5. Cuma ianya dikeluarkan dalam jumlah yang terhad, pada harga £28,000 (RM 154,881.07).

Seandainya benar HLYM akan mengeluarkan kembali Yamaha RX-Z, mungkin sebagai edisi ulang tahun atau edisi peringatan khusus untuk peminat setianya, pasti terdapat petunjuk yang jelas. Jika tidak, persoalan mengenai kemunculan semula Yamaha RX-Z di pasaran tempatan ini hanyalah sebuah khabar angin dan spekulasi semata-mata.