SYM VF3i 185 Pro (V3) 2020 dilancarkan dengan kuasa maksimum 19.7hp dan dilengkapi sistem brek ABS

Sejak akhir-akhir ini populariti model SYM VF3i 185 di pasaran Malaysia meningkat dengan begitu mendadak sekali. Salah satu sebabnya ialah pelancaran varian Limited Edition (LE) pada bulan Mei 2020 yang lalu, yang mana model tersebut hadir dengan kuasa enjin maksimum 19.7hp @ 9,000rpm di samping sistem brek ABS yang canggih.

Kemudiannya pada awal bulan September 2020 yang lepas disebabkan permintaan yang tinggi terhadap varian SYM VF3i 185 LE, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. telah menambah pengeluaran untuk model berkenaan daripada 5,000 unit kepada 10,000 unit. Keputusan tersebut agak kontroversi di kalangan peminat setia moped tersebut.

Oleh itu berdasarkan sambutan yang memberangsangkan, MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. hari ini dengan rasminya melancarkan model terbaharu SYM VF3i 185 Pro 2020, juga dikenali sebagai model Version 3 (V3) bagi menggantikan model terdahulu Version 2 (V2). Lebih menarik spesifikasinya sama seperti spesifikasi SYM VF3i 185 LE.

Ini bermakna SYM VF3i 185 Pro kini menawarkan enjin bersesaran 183cc dengan keluaran kuasa yang lebih tinggi pada 19.7hp @ 9,000rpm dengan tork puncak 17.4Nm @ 7,500rpm. Enjin tersebut juga hadir dengan teknologi suntikan bahan api, sistem penyejukan cecair dan dipadankan dengan transmisi enam kelajuan yang lancar.

Sistem brek ABS (Anti-lock Braking System) yang sebelum ini eksklusif untuk varian LE juga telah telah menjadi ciri standard untuk SYM VF3i 185 Pro, seterusnya menawarkan prestasi pemberhentian yang lebih cekap dan selamat. Tuil brek dan klac tangan boleh laras juga kini sedia terpasang untuk disesuaikan mengikut kehendak penunggangnya.

SYM VF3i 185 Pro juga hadir dengan ciri-ciri menarik seperti speedometer dengan reka bentuk yang bergaya, lampu signal depan LED dengan lampu DRL LED yang terang untuk pandangan dari jarak jauh, lampu belakang LED, tangki bahan api 7 liter untuk jarak perjalanan lebih jauh dan brek cakera di bahagian roda depan dan belakang.

Model moped dengan kapasiti enjin terbesar di pasaran tempatan itu juga mempunyai ketinggian tempat duduk 790 mm untuk keselesaan penunggang, ruang kelegaan tanah sebanyak 150 mm untuk pengendalian yang lebih baik dan berat yang ringan iaitu hanya 124 kilogram untuk kawalan dan pengendalian yang lebih mudah dan sempurna.

SYM VF3i 185 Pro (V3) 2020 didatangkan dalam tiga pilihan warna yang menarik iaitu merah, biru dan emas. Harga jualannya adalah sebanyak RM9,338.00 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan), sama seperti harga SYM VF3i 185 LE. Ianya akan berada di premis-premis pengedar sah SYM di seluruh Malaysia bermula 15hb. Oktober 2020.

Semua pembeli SYM VF3i 185 Pro akan menikmati jaminan pengeluar selama tempoh dua tahun atau jarak perjalanan 20,000 km (yang mana tiba dahulu) dan perkhidmatan pembelian alat ganti tulen atas talian oleh MForce Bike Holdings Sdn. Bhd. Dijangkakan model ini akan mendapat sambutan hangat daripada peminat motosikal tempatan.

(Visited 29,955 times, 2 visits today)